26 Feb 2017

Kahwin Lagi? Kuota Saya Sudah Habis - Fedi Nuril

"Saya sudah punya dua isteri (di filem Ayat-ayat Cinta) dan dua lagi isteri (di filem Surga Yang Tak Dirindukan). Jadi kuota saya sudah habis," itu jawab pelakon popular Fedi Nuril saat diusik media dengan soalan mengenai poligami, ketika ditemui di GSC, Pavilion, baru-baru ini.

Akui Fedi, selepas dua kali berlakon dalam filem tentang poligami dia banyak belajar dan lebih memahami tentang perihal berkahwin lebih daripada satu.

"Selepas dua kali bermain filem poligami, saya banyak belajar dari sudut hukum Islam sehinggalah undang-undang negara. Ternyata, bagi saya, bukan mudah untuk berpoligami. Ia sangat sukar. Jadi saya konsisten dengan satu isteri saja," tuturnya sambil tersenyum.

Fedi atau nama sebenarnya Ferian Nuril, 34, berkahwin Vanny Widyasasti 16 Januari 2016 dan dikurniakan seorang cahaya mata lelaki, Hasan Fadilah Nuril yang baru berusia dua bulan.

Aktor berasal dari Jakarta ini berkunjung ke Kuala Lumpur sempena malam gala tayangan filem terbarunya Surga Yang Tak Dirindukan 2 (SYTD2). Turut hadir dua lagi bintang utama, aktres Laudya Cynthia Bella dan Raline Shah.

Berkongsi lanjut mengenai pengalamannya menjayakan sekual daripada SYTD ini, Fedi berkata, dia tidak menghadapi masalah untuk kembali menjiwai watak sebagai Pras, walaupun selepas tiga tahun sejak penggambaran filem yang pertama.

Namun antara cabaran dilaluinya apabila terpaksa menjalani menggambaran di Budapest, Hungary, dalam cuaca yang sangat sejuk.

"Dari segi mahu kembali menjiwai watak, saya tidak ada masalah. Cuma ketika penggambaran di Budapest, cabaranya apabila kami berlakon dalam cuaca yang sangat sejuk," tuturnya yang memainkan karakter sebagai Pras.

Diadapatasi dari novel hit Indonesia karya novelis Asma Diana, SYTD2 sudah pun ditayangkan di 83 pawagam tanah air sejak 16 Februari lalu.



Filem bergenre drama yang mendapat sentuhan kreatif pengarah Hanung Bramantyo ini bukan saja melakar fenomena di Indonesia, malah selepas seminggu ditayangkan di Malaysia, filem yang turut dibintangi Reza Rahadian dan Nora Danish ini sudah berjaya mencapai kutipan RM1 juta.

SYTD2 mengisahkan kehidupan sepasang suami isteri, Pras dan Arini kembali meneruskan kehidupan dengan anak kesayangan mereka, Nadia. Namun ketika mereka sekeluarga ke Budapest, takdir menemukan mereka dengan Meirose dan anaknya Akhbar.

Pemergian Meirose dulu kerana mahu memulakan hidup baru demi melupakan masa lampau yang hampir menghancurkan rumah tangga Arini. Tetapi, pada pertemuan kali ini Arini mengharapkan Meirose kembali ke pangkuan Pras. Malah kehadiran doktor Syarief dalam hidup Meirose turut menimbulkan tanda tanya. Apakah kesudahannya? SYTD2, menjanjikan emosi dan air mata.

Dalam pada itu Fedi mengakui, dek kerana sering melakonkan watak suami yang berkahwin lebih satu dia menerima pelbagai reaksi dia pernah dimarahi oleh peminat. Tak kurang, ada peminat yang menyatakan rasa tersentuh hati mereka terhadap lakonannya.

"Ada peminat yang marah dengan saya gara-gara sering melakonkan watak suami yang berpoligami. Tetapi ada juga yang berkata, mereka cukup tersentuh.

Ada juga peminat wanita yang mengajak saya bernikah. Tetapi selagi mereka tidak sampai ke depan pintu rumah mereka, saya anggap itu cuma gurauan saja," tuturnya sambil ketawa.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan