Selepas dua hari mencari penyanyi berpotensi pada sesi uji bakat Mentor Milenia 2017, Black akhirnya memilih tiga peserta terbaik yang akan diumumkan di pentas program realiti televisyen itu pada 5 Februari nanti.
Sesi uji bakat yang berlangsung di Sri Pentas, Bandar Utama pada 24 dan 25 Disember lalu dihadiri lebih 200 peserta yang ingin mencuba nasib masing-masing dalam program realiti menyanyi terbitan TV3.
Menggalas tugas sebagai mentor buat kali kedua, Black kali ini lebih tegas dan teliti untuk memilih anak didiknya.
“Saya berpuas hati dengan protege yang dipilih pada sesi uji bakat. Bagi musim kali ini, saya mencari protege yang mempunyai kebolehan menyampai pelbagai genre lagu,” katanya.
Bagaimanapun, Black atau nama sebenarnya, Hanifah Md Hanafiah, 29, berkata, ada dalam kalangan peserta berbakat menyanyi namun belum bersedia.
“Mereka gagal menyanyi lagu yang diberikan dengan baik. Kebanyakan peserta memilih lagu kurang mencabar dari segi vokal.
“Oleh itu, bakal protege saya perlu mampu mencuri hati penonton dengan menyampaikan persembahan di luar jangkaan,” katanya.
Menerusi tanggungjawabnya sebagai mentor, penyanyi lagu Anugerah Terindah ini mahu mencabar diri bersaing dengan pendidik lain untuk melahirkan bintang hebat.
“Saya menganggap Tomok, Hazama dan Akim sebagai pencabar sengit. Ini membolehkan kami menjana lebih banyak idea dan taktik untuk menghasilkan persembahan hebat bagi musim baru ini,” katanya.
Dalam pada itu, Black berkata, sekiranya protogenya menepati segala kriteria yang dicari di pentas persaingan, dia akan berusaha mengetengahkan bakat peserta berkenaan dalam industri muzik tanah air.
Sementara itu, sesi uji bakat Hazama mencari protoge Mentor Milenia 2017 akan berlangsung di Sri Pentas, Bandar Utama pada 7 dan 8 Januari ini.
Sesi uji bakat ini terbuka kepada warganegara Malaysia berusia 17 hingga 21 tahun yang mempunyai vokal mantap serta pakej lengkap.
Peserta juga dikehendaki tidak terikat dengan sebarang kontrak dengan mana-mana pihak dan boleh memberi komitmen penuh terhadap Mentor Milenia.
Lebih menarik, pembaca yang berminat menyertai sesi uji bakat itu boleh memuat naik rakaman video nyanyian di Instagram dengan menggunakan hashtag #Mentor
Peserta yang berjaya menambat hati mentor pilihan akan menerima mesej peribadi untuk layak menghadiri sesi uji bakat.
Mentor Milenia akan disiarkan pada 5 Februari ini pada setiap Ahad, jam 9 malam di saluran TV3.
Manakala Jurnal Mentor Milenia pada 12 Februari pada setiap Ahad jam 6 petang.
Maklumat lanjut mengenai sesi uji bakat Mentor Milenia boleh melayari laman web http://ift.tt/2iBNs3q.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan