3 Jan 2017

Julia Perez Mahu Tunai Umrah, Teringin Lihat Piramid

Meskipun masih dalam keadaan kurang sihat dan bakal menjalani pembedahan saraf, Julia Perez bersemangat menghadiri pengajian kelas agama di Kelapa Dua, Jawa Barat, Indonesia.

Julia atau Jupe, 36, turut memohon kepada Tuhan agar dirinya diberikan kesihatan yang baik dan penyakitnya disembuhkan.

Artis yang terkenal dengan imej seksi itu tidak lupa memohon agar perancangannya untuk menunaikan ibadat umrah bersama ibu bapa dan sahabatnya, Ria Irawan, dipermudahkan.

"Kata orang, jika kita pergi menunaikan umrah atau haji, apa saja yang kita doakan di sana akan diangkat. Inilah panggilan saya dan pada kesempatan yang ada itu saya ingin berdoa kepada Allah semoga dipermudahkan segala urusan saya dan menyembuhkan penyakit ini," katanya.

Selain umrah, Jupe juga merancang kunjungan ke Mesir untuk melihat piramid. Melihat satu daripada tujuh benda ajaib di dunia itu pula memang menjadi impiannya sejak sekian lama.

"Selepas mengejarkan umrah, saya tetap mahu pergi ke Mesir kerana saya sangat suka dengan piramid. Saya juga pernah bermimpi melihatnya dulu. Antara yang ada dalam senarai perkara ingin saya lakukan adalah melihat piramid," katanya yang disahkan menghidap kanser servik sejak dua tahun lalu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan