9 Jan 2017

Azwan belum 'berehat' lagi

Walaupun jarang muncul di kaca TV seperti rakan seangkatan yang lain, ia tidak menggugat semangat bekas peserta Akademi Fantasia 2014, Azwan Satar untuk terus bekerja keras menempatkan namanya dalam kalangan penyanyi tanah air.

Menurut Azwan, dia sebenarnya masih aktif dalam bidang nyanyian dan bakal muncul dengan single kedua tidak lama lagi.


“Saya masih aktif, cuma mungkin kerana saya jarang mendapat peluang untuk muncul di kaca TV, ramai menyangka saya sudah berehat.

“Terbaru, sekitar Februari atau Mac ini saya akan muncul dengan single kedua berjudul Aku Yang Terluka,” katanya.

Menurutnya, lagu ciptaan Asry Hassan dan Shahrizad Abu Bakar itu sepatutnya dilancarkan selepas Aidilfitri tahun lalu, namun atas beberapa sebab ia ditunda ke tahun ini.

Ditanya sama ada dia gentar andai kata namanya hanya popular buat seketika, Azwan yakin doa peminat sentiasa menemaninya.

“Itu mungkin pandangan orang ramai. Insya-Allah, peminat dan penyokong saya tahu mengenai kewujudan saya. Mereka juga tahu apa yang saya buat dan lalui sepanjang beberapa tahun ini.

“Pada pendapat saya, naik turun seseorang artis itu adalah asam garam dalam industri. Yang penting, keluarga, rakan-rakan dan peminat sentiasa memberikan sokongan, sekali gus membakar semangat saya.

“Kalau ada komen yang mengatakan saya adalah penyanyi ‘one hit wonder’ dan sebagainya, saya terima dari sudut positif,” katanya.

Selain nyanyian, Azwan juga pernah bergelar pelakon dan telefilem terakhir lakonannya ialah Menantuku Rock bersama Elfira Loy, Kazar, Liza Abdullah, Niezam Zaidi dan ramai lagi,

“Itu adalah telefilem terakhir lakonan saya. Buat masa sekarang, belum ada sebarang tawaran berlakon yang saya terima lagi. Namun, sekiranya ada apa salahnya saya mencuba nasib sekali lagi sebagai pelakon. Sedikit sebanyak, dapat juga timba pengalaman baru,” katanya.

Azwan yang kini menetap di Batu Pahat, Johor tidak kisah untuk berulang-alik ke Kuala Lumpur bagi menjayakan aktiviti seninya.

Ia tidak pernah membuatkan penyanyi ini penat, sebaliknya dia sendiri rela dengan rutin itu.

“Kalau ikutkan hati, tentunya saya mahu menetap di Kuala Lumpur kerana lebih mudah untuk saya mengembangkan kerjaya seni saya. Namun, dengan keadaan saya sekarang, lebih mudah untuk saya menetap di Batu Pahat.

“Buat masa sekarang, saya memang mahu menjaga ayah yang kurang sihat,” katanya.

Selain itu, Azwan juga sibuk sebagai usahawan menjual kerepek pisang tanduk dan kuih-muih tradisi.

“Perniagaan sudah sebati dalam diri saya. Jadi, mana mungkin saya akan berhenti berniaga. Dalam tahun ini, Insya-Allah saya akan memantapkan perniagaan dengan menyertai aktiviti jualan dan sebagainya,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan