Buka buku baru dan enggan lagi menoleh ke belakang!
Itulah azam penyanyi Toki apabila membuat kemunculan semula dalam bidang seni.
Penyanyi bernama sebenar Mohd Zaki Mansor, 49, yang berasal dari Changlun, Kedah ini sebelumnya terpalit dengan pelbagai kontroversi dalam karier.
Bagaimanapun, Toki mahu peminat melupakan kisah silam dan menerimanya sebagai Toki yang baru dengan imej bersih dan meyakinkan.
“Sebenarnya saya bukan berehat atau berhenti terus daripada bidang seni kerana lebih banyak terbabit dengan kerja di belakang tabir di studio.
“Selepas 10 tahun, saya berasa tergerak hati untuk tampil semula dengan single terbaru berjudul Baiyati yang bermaksud tarannum dalam bacaan al-Quran.
“Ia adalah ciptaan saya sendiri dan masih kekal dengan konsep kemelayuan dan Nusantara seperti dulu,” katanya.
Toki gembira kerana single ini dijangka dipasarkan menerusi jualan digital pada hujung Januari ini.
“Lagunya diterbitkan oleh saya sendiri manakala Luncai Emas sebagai pengeluar. Buat masa ini saya hasilkan single dahulu dan selepas itu barulah akan menyusul dengan album penuh,” katanya.
Penyanyi lagu Biasan dan Seni Berzaman ini lebih selesa membicarakan mengenai masa depan berbanding kisah silamnya yang penuh warna-warni.
“Apabila menyepikan diri bukan saya sahaja yang rugi, tapi juga industri muzik dan peminat kerana tak dapat menikmati karya yang baik daripada saya,” katanya.
Toki berkata, selama menyepi diri itu, dia menyertai pondok pengajian agama di Batu 12 Gombak bagi mengenal diri.
“Di sana saya banyak belajar ilmu hakikat yang diajar oleh seorang guru. Saya mendekatkan diri dengan Allah dan kenal Allah betul-betul.
“Saya dapat rasa kebahagiaan menerusi cara ini. Pada saya dengan usia sekarang, dah sampai masanya saya beralih arah kepada hidup begini.
Ditanya berkenaan penerimaan peminat terhadapnya, Toki berkata, ia bukan masalah besar untuk mereka berbuat demikian.
“Rasanya apabila cerita mengenai saya keluar semula di media, peminat akan baca dan terima saya dengan hati terbuka.
“Saya dah ada nama sendiri sebelum ini. Agak rugi kalau saya tak diberi peluang kerana hilangnya satu tokoh bukan mudah nak dicari ganti,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan