9 Jan 2017

Dua minggu urus majlis nikah I

Walaupun persiapan hanya dilakukan dalam tempoh dua minggu, tetapi penyampai radio Kool FM dan pelakon, Ikhwan, 33, bersyukur majlis pernikahannya dengan Noor Idayu Mohd Shari, 32, berlangsung dengan sempurna, kelmarin.

Mereka dinikahkan bapa pengantin perempuan, Mohd Shari Sidek pada satu majlis sederhana tetapi meriah bersaksikan beberapa rakan dan keluarga kedua-dua pihak di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur.


Dalam majlis itu, Idayu menerima mas kahwin RM3,000 dan sembilan dulang hantaran berbalas tujuh daripada pihak lelaki.

Ikhwan berkata, dia bagaikan tidak percaya apabila sudah menjadi suami orang dan bakal melalui fasa baru.

“Harapan saya semoga pernikahan ini berjalan dengan baik dan kami bahagia hingga akhir hayat,” katanya.

Mengulas status Idayu yang turut mempunyai seorang anak, Ikhwan atau nama sebenarnya Mohd Khairul Ikhwan Rosli mengakui dia dan keluarga tiada masalah akan perkara itu.

Malah, ibunya juga adalah seorang ibu tunggal sebelum berkahwin dengan bapanya.

“Pada mulanya Idayu bimbang dengan penerimaan keluarga saya terhadapnya. Namun, apabila sudah berjumpa, mereka semua menerimanya dengan hati yang terbuka.

“Lagipun sikap Idayu sendiri yang berterus terang menyenangkan hati saya dan keluarga untuk menerimanya,” katanya yang mengenali Idayu selama tujuh bulan sebelum berkahwin.

Berkongsi mengenai hubungannya dengan anak Idayu, Muhammad Isaac Iman, 10, Ikhwan berkata, dia selesa dan menyayangi kanak-kanak itu.

“Saya tiada masalah dengan kanak-kanak. Selama ini saya juga sering menjaga anak buah menyebabkan saya senang untuk dekat dan mesra dengan Isaac.

“Kebetulan kami mempunyai minat yang sama iaitu bermain permainan video dan sukakan Star Wars. Ini lebih merapatkan hubungan kami, malah saya juga sering keluar berdua dengan Isaac tanpa Idayu,” katanya.

Berkongsi percutian bulan madu mereka, Ikhwan berkata, mereka belum merancang berikutan Ikhwan bakal sibuk dengan beberapa projek membabitkan Kool FM.

“Insya-Allah jika tiada halangan kami akan pergi bercuti pada April atau Mei nanti. Ini kerana selepas ini saya akan kembali sibuk selepas mengambil cuti dua minggu menguruskan perkahwinan ini. Ke mana destinasi juga belum dapat diputuskan lagi.

“Jika tiada halangan kami juga akan mengadakan majlis persandingan untuk teman-teman yang tidak dapat hadir ke majlis pernikahan ini,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan