24 Nov 2016

Tasha Shilla sedia warnai arena lakonan

SEGELINTIR penonton pasti pernah menonton drama bersiri Rindu Bertamu Di Abu Dhabi yang pernah popular beberapa tahun lalu yang turut dibintangi pelakon cantik, Tasha Shilla.

Memegang watak sebagai Ain Farohah, wanita lembut dan isteri kepada Firdaus yang dilakonan Fahrin Ahmad.

Lakonan Tasha dalam drama tersebut menjadi apabila berjaya menjiwai watak dan mampu membuatkan penonton terus setia menontonnya.

Drama tersebut sedikit sebanyak melonjakkan nama pelakon tersebut di arena lakonan, sekali gus Tasha terus menerima tawaran untuk naskhah berbeza.

Pun begitu, sejak kebelakangan ini, Tasha sudah tidak kelihatan di kaca televisyen atau di skrin pawagam dan hal ini membuatkan peminatnya tertanya-tanya.

Ketika dihubungi Media Hiburan baru-baru ini, Tasha atau nama sebenarnya Natasha Shilla Abd Razak berkata, dia memperlahankan sedikit kerjanya untuk menjayakan beberapa acara fesyen.

“Tahun lepas, saya tak banyak berlakon dan banyak terima tawaran menjadi selebriti jemputan dalam beberapa majlis fesyen.

“Saya aktif semula selepas beraksi dalam program Gempak Superstar. Tambahan pula, ada beberapa telefilem yang lakonan saya belum keluar disiarkan lagi.

“Antaranya Ayah Bohong Lagi, Cikgu Karim Ghau Ghau dan Biar Biola Berbicara,” katanya.

Tasha baru selesai jalani penggambaran drama Diari Cinta Kita, yang turut dibintangi Fezrul Khan dan Ayu Raudhah.

“Drama ini mengisahkan saya sebagai Nurul Imaan, iaitu pesakit kanser yang sudah berkahwin.

“Kejutan berlaku apabila suami Nurul Imaan berkahwin dengan doktor yang merawatnya dan onflik berlaku di antara ketiga-tiga individu ini," jelasnya.



Cabaran berlakon teater

Selain drama, Tasha kini giat menjalani latihan teater Puteri La Galigo yang akan dipentaskan pada 16 hingga 18 Disember depan.

Menerusi teater tersebut, Tasha diberi peranan sebagai Tengku Puteri dan mengakui mengalami kesukaran untuk membawakan watak tersebut.

“Saya perlu menari, menyanyi dan pada masa sama, saya perlu bersilat untuk menghidupkan Tengku Puteri.

“Walaupun sukar, saya tetap terima tanggungjawab diberikan. Bagi saya, ini pengalaman baru yang berharga untuk saya,” jelasnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan