PENYANYI Hazama mengakui tidak sabar menantikan kehadiran album barunya untuk dikongsi bersama peminat yang banyak menyokong kerjaya seninya selama ini.
Meskipun belum siap sepenuhnya, namun penyanyi ini optimis album yang memuatkan sembilan lagu itu nanti akan menambat hati orang ramai.
“Sepatutnya, album ini telah lama siap, tapi kerana kesibukan saya terikat dengan pelbagai aktiviti seni, pembikinannya asyik tertangguh hinggalah Mei lalu di mana kami mula masuk studio untuk rakaman lagu.
“Berbanding album pertama dulu, kali ini saya lebih teliti dan banyak menghabiskan masa untuk sama-sama terlibat dalam segala aspek pembikinan untuk pastikan ia menepati apa yang saya inginkan,” ujarnya yang sebelum ini pernah tampil dengan album Penglipur Lara.
Menurut Hazama, setelah 10 tahun bergelar artis rakaman, dia mula menyedari kecenderungannya terhadap muzik pop berbanding rock yang sebelum ini sering dikaitkan dengannya.
“Mungkin kerana imej atau tone suara yang saya miliki, orang sering anggap saya sebagai penyanyi rock dan cenderung untuk mendengar lagu-lagu dari genre berkenaan dari saya.
“Untuk album ini, buat pertama kalinya saya akan mengetengahkan lagu-lagu pop yang saya kira merupakan genre sebenar saya mahukan selama ini,” ujarnya.
Mengulas lanjut tentang album yang bakal menemui penonton hujung tahun nanti, kata Hazama, selain tiga lagu ciptaannya sendiri, buah tangan terbarunya ini turut menampilkan beberapa komposer terkenal seperti M Nasir, Ajai dan Azlan & The Typewriter.
“Kalau ikutkan saya boleh saja guna kesemua lagu ciptaan sendiri untuk album ini, tapi saya tidak pilih berbuat demikian kerana mahu tampilkan kepelbagaian dalam album yang saya sifatkan cukup begitu istimewa ini.
“Saya lebih suka untuk kembali kepada konsep penerbitan album dulu di mana sesebuah album itu perlu menampilkan beberapa komposer dan penulis lirik yang berbeza untuk memberikan hasil yang lebih pelbagai kepada sesebuah album dan tidak terarah kepada satu cita rasa sahaja,” katanya yang turut berbakat dalam bidang penciptaan lagu ini.
Berehat seketika dari dunia lakonan
Dalam perkembangan lain, Hazama yang mempunyai kontrak bersama pengurusan Astro sehingga 2020 ini sedang sibuk membuat persiapan untuk Anugerah Juara Lagu (AJL) yang menyaksikan lagu nyanyiannya, Di Amaran Mama berjaya ke final.
“Alhamdulillah sekali lagi pada tahun ini lagu saya berjaya ke AJL dan saya kini sedang sibuk mempersiapkan diri dari segi vokal dan persembahan agar lagu ini dapat disampaikan dengan baik .
“Saya sukakan lagu ini kerana ia cukup dekat dengan semua orang di mana liriknya bercerita tentang apa yang berlaku dalam kehidupan sehari-hari kita,” ujar Hazama yang lebih lima kali tercalon AJL sebelum ini.
Memastikan persembahannya berada di tahap terbaik, Hazama berusaha meningkatkan staminanya menerusi aktiviti renang dan ‘jogging’ yang telah menjadi amalannya sejak sekian lama.
“Aktiviti ini penting bagi saya untuk menjaga stamina ketika berada di pentas tidak kiralah untuk persembahan biasa mahupun persembahan di pentas besar seperti dia AJL dan sebagainya.
“Walaupun ia sudah tidak dapat dilakukan sekerap dulu kerana masa dan komitmen saya yang banyak terikat dengan urusan kerja, saya tetap cuba untuk berbuat demikian kerana ia penting bagi memastikan stamina saya sentiasa berada di tahap terbaik,” akuinya.
Menyentuh tentang penglibatannya dalam dunia lakonan, kata Hazama, buat masa ini dia memilih untuk berehat seketika dari berlakon dan memberikan tumpuan kepada bidang nyanyian. Hazama sebelum ini pernah muncul dalam filem Apa Celop Toq (2012), Lari (2013) dan Hantu Nanti Sempit (2014).
“Sebenarnya, penglibatan saya dalam dunia lakonan sebelum ini hanyalah sekadar untuk mencuba pengalaman baru dalam bidang itu dan saya tidak pernah terfikir untuk serius bergelar pelakon kerana kecenderungan saya lebih kepada nyanyian.
“Saya mahu lebih dikenali sebagai penyanyi dan kalau suatu masa nanti orang mahu kenang saya dalam bidang seni biarlah menerusi bidang nyanyian,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan