24 Nov 2016

Arja Lee hasil koleksi Dhanee

TERUS mengorak langkah dalam bidang perniagaan, Arja Lee tampil dengan pelancaran koleksi kurta eksklusif, Dhanee kolaborasi bersama butik online, Raini Exclusive.

Mengakui teruja, selebriti berusia 33 tahun ini melihat kerjasama terjalin sebagai pencetus jenama Arja Lee berkecimpung dalam dunia perniagaan fesyen moden.

"Saya melihat kolaborasi ini sebagai batu loncatan buat saya berkecimpung dalam dunia perniagaan.

"Selepas kejayaan dalam bidang lakonan, saya mahu mencabar diri saya melakukan sesuatu yang baru.

"Tawaran daripada Raini Exclusive hadir tepat pada masanya," katanya.

Katanya, koleksi Dhanee dihasilkan menurut cita rasanya sendiri selain memenuhi trend hipster masa kini.

"Koleksi ini didatangkan dalam satu jenis rekaan moden yang menampilkan ciri rekaan masa kini seperti kemasan lengan yang berbutang ala kemeja, fabrik tidak panas, zip eksklusif dan potongan leher yang selesa.

"Setiap rekaan hadir dalam pilihan 12 jenis warna dan boleh digayakan dalam acara kasual, santai mahupun korporat.

"Saya harap koleksi Dhanee oleh Arlee by Raini Exclusive ini berjaya memenuhi kehendak pasaran Muslim yang kini semakin terbuka dalam penggayaan moden," ujarnya.

Pengasas Raini Exclusive, Noraini Mohd Zain berkata, pemilihan Arja sebagai rakan kongsi dilihat mampu melonjakkan nama butik dalam rekaan dunia fesyen moden.

"Populariti dan tarikan maskulin yang terdapat dalam dirinya mampu membina aura keyakinan bakal pelanggan.

"Bahkan, dia juga bersungguh dalam perbincangan perniagaan sebelum ini demi memastikan semua perancangan berjalan dengan baik," katanya.

"Kita sasarkan jualan RM500,000 dalam tempoh tiga bulan selepas pelancaran menerusi pemasaran berkesan," katanya.

Katanya, pelanggan juga boleh buat tempahan awal secara atas talian.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan