9 Feb 2017

Siti Elizad tidak kedekut ilmu

HARI demi hari, kredibiliti Siti Elizad Mohd Sharifuddin sebagai pelakon semakin menyerlah dan hangat diperkatakan.

Buktinya, populariti pelakon yang lebih mesra disapa Ejad ini semakin meningkat selepas membintangi beberapa drama bersiri antaranya Teman Lelaki Upahan, Lambaian Ramadan dan Si Kolot Suamiku.

Persembahan selebriti berusia 33 tahun ini juga cukup mempesonakan dan dilihat serasi di pentas lakonan.


Pun begitu, ada suara yang tidak berpuas hati dengan lakonannya bersama pendatang baru, Fadlan Hazim menerusi drama rantaian terbaru, Papa Ricky. Ada yang mengatakan pasangan ini tidak serasi dan  ‘kurang menjadi’.

“Jujur, saya tiada masalah bersama Fadlan. Lagipun, kami sama-sama belajar ketika di set penggambaran.

“Saya bahasakan diri sebagai ‘aku, kau’ supaya dia selesa dengan saya apabila berada di luar,” katanya pada Media Hiburan.

Pernah mengalami situasi yang sama, katanya, masyarakat seharusnya memberi peluang kepada bakat baru menunjukkan kebolehan masing-masing.

“Memang drama ini dibintangi ramai pelakon baru, tapi itu bukanlah satu masalah. Asalkan mereka mengkaji karakter masing-masing sebelum datang ke set," katanya yang banyak belajar bersama Datuk Rosyam Nor ketika awal lakonannya.

Ejad turut memuji Fadlan yang suka belajar malah dia sedia memberi peluang itu.

Jelasnya, perjalanan drama itu masih panjang sekali gus mampu membaik pulih persepsi penonton terhadap lakonan mereka.

“Kami akan menjalani penggambaran sehingga hujung April nanti. Jadi, jangan mudah menghakimi,” katanya.

Selain Ejad dan Fadlan, drama arahan Haris Fadzillah ini turut dibintangi Nur Qistina Raisah, Farah Nabilah, Ann Abdullah, Ewal, Mathni Razak dan Syafnida Shuhaimi.

Rancak kembang karier nyanyian, perniagaan

Bekas juara Gempak Superstars ini juga rancak mengembangkan kariernya sebagai penyanyi dan mahu bekerjasama dengan komposer dan penyanyi terkenal, Ippo Hafiz.

“Sebenarnya, saya lebih suka pada lagu-lagu akustik yang berentak ala Indonesia, Jadi, saya merancang menghasilkan sesuatu yang berlainan bagi single kedua nanti,” katanya yang pernah muncul dengan single pertama Haiyaya.

"Lagunya berentak catchy dengan lirik yang santai serta sesuai dengan kehendak pasaran," katanya.

Ejad bercadang menceburi dunia perniagaan dan keputusan itu dibuat selepas dilantik menjadi duta wangian Elizad Sharifuddin X Fella Rosse selama setahun.

Pelakon cantik ini memberitahu akan muncul dengan jenama baju kebaya sendiri dan mahu terus belajar dalam dunia perniagaan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan