9 Feb 2017

Jaafar Onn curah ilham

SEIRING dengan perkembangan fesyen semasa, Jaafar Onn melancarkan Jaafar Onn Design yang diilhamkan oleh Eurotex Asia pada awal Februari lalu di Grand Ballroom, Concorde Hotel Kuala Lumpur.

Eurotex Asia merupakan sebuah syarikat yang turut menyediakan platform untuk usahawan bumiputera khususnya yang ingin memulakan perniagaan tekstil dan beroperasi sejak tahun 1991.

Jaafar Onn yang sebelum ini sinonim dengan drama komedi kanak-kanak, Cili Padi, sedikit waktu lalu mengakui teruja dengan kolaborasi bersama syarikat tersebut.

“Sudah pasti saya gembira kerana selain dapat membantu peniaga bumiputera memulakan perniagaan dalam dunia tekstil, saya turut mempunyai rangkaian sendiri yang dikenali sebagai Jaafar Onn Design.

“Jadi, saya diberi peluang mereka sendiri pakaian yang sesuai dan praktikal untuk digayakan lelaki dan wanita. Paling penting, harganya mampu milik,” ujar pelakon veteran ini.

Penyanyi dan pengacara ini juga menggunakan setiap ilmu dalam rekaan dan jahitan baju yang akan dipasarkan.

Ditanya mengenai pemilihan Jaafar Onn, Pengurus Besar, Encik Muhammad Fadhil Abdullah memberitahu, selebriti itu dirasakan mempunyai kredibiliti untuk mengilhamkan ciptaan yang berkonsepkan warisan.

“Pakaian tradisi ilham Jaafar juga pernah digayakan oleh selebriti terkenal. Lalu kami mahu mengangkat semula hasil ciptaannya tetapi dengan kepelbagaian corak yang lebih terkini,” ujarnya.

Pada masa sama, kerjasama ini juga akan diteruskan bersama Karnival Tekstil yang akan menjelajah ke serata Malaysia dalam masa terdekat.

Majlis pelancaran turut diserikan dengan persembahan nyanyian dari rakan selebriti lain seperti Rohana Jalil, Maya Matahari, Rizal AF dan ramai lagi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan