9 Feb 2017

Laksamana mahu bikin comeback

KUMPULAN Laksamana yang pernah popular dengan lagu Gugurnya Bunga Cinta satu ketika dahulu, merancang mengadakan comeback dengan menampilkan semua anggota asalnya.

Menurut vokalisnya, Mohd Nizam Pechok atau lebih dikenali sebagai Nizam Laksamana, kumpulan itu kini sedang dalam perancangan mengadakan reunion dengan menghasilkan satu atau dua single.

Bagaimanapun, katanya, setakat ini tiada sebarang tarikh ditetapkan kerana mengambil kira setiap anggota kumpulan berkenaan yang sudah berkeluarga dan berhadapan kekangan masa.


“Memang kita ada rancang mengadakan reunion termasuk mengeluarkan satu atau dua single. Tapi bukan dalam masa terdekat sebab masing-masing sudah berkeluarga.

“Cuma, kita mahu lagu yang dihasilkan nanti kena dengan imej Laksamana. Sebab itu kena tunggulah,” katanya ketika ditemui pada pelancaran singlenya berjudul Nafas di Hang Tuah Mall, Melaka.

Bercakap mengenai single yang diterbitkan Asry Hasan itu, Nizam berkata, keseluruhan proses rakaman mengambil masa hampir tiga bulan untuk disiapkan dan cetakan pertama sebanyak 1,000 unit sudah hampir habis dijual.

“Saya orang lama. Orang lama macam saya tiada tempat di media baru. Hanya rakan-rakan di RTM saja yang banyak membantu promosi.

“Bagi saya, mereka harus mendengar kualiti lagu itu. Berapa lama mereka boleh bertahan? Setahun? Dua tahun?” katanya yang mula dikenali selepas menyertai Gegar Vaganza tahun lalu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan