PERSEMBAHAN final program realiti nyanyian, 3 Juara berlangsung meriah di Sri Pentas 2, Shah Alam, Ahad lalu.
Mana tidaknya, semua peserta memberikan persembahan terbaik sehingga kira-kira 1,000 penonton bersorak gempita melihat persembahan mereka, ibarat menonton sebuah konsert.
Juri tetap 3 Juara, Datuk Awie, Datuk Rossa dan Noraniza Idris memberikan pujian melambung kepada kesemua peserta Kudien, Eva Maria, Salma, Hady, Azizul dan Nura.
Genre rock membuka pentas dengan pesertanya, Eva Maria mempersembahkan lagu milik Bonnie Tyler, Total Eclipse Of The Heart. Kudein kemudiannya, mengambil pentas dengan menyanyikan lagu berhantu, I Don’t Wanna Miss A Thing.
Persembahan peserta yang paling memikat milik peserta balada, Salma apabila dia menunjukkan kemampuannya untuk menyanyikan lagu yang bernada tinggi, Hanyalah Satu nyanyian asal Nora Ariffin.
Genre balada menutup pentas pra final 3 Juara dengan Salma dan Hady bergabung suara dengan menyanyikan medley lagu, Dirgahayu dan Tiada Lagi Kidungmu.
Papa rock, Datuk Ramli Sarip menjadi penyanyi undangan malam tersebut dengan menyanyikan dua buah lagu, Keliru dan Teratai.
Ajai turut mengambil kesempatan mempromosikan bandnya, Empayar by Ajai dengan mempersembahkan single terbaru band tersebut, Eksperimen Cinta.
Juara milik Kudien, Salma & Azizul
Meskipun kesemua peserta memberikan persembahan secara total, hanya satu pemenang sahaja dari setiap genre dipilih.
Setelah pemarkahan dihitung oleh penonton serta keputusan yang dibuat oleh juri tetap, akhirnya juara genre rock, balada dan irama Malaysia milik Kudein, Salma dan Azizul.
Kemenangan ketiga peserta ini mungkin sudah dijangka penonton memandangkan kesemuanya memberikan persembahan yang menarik dan jitu.
Dengan kemenangan ini, mereka membawa pulang wang tunai RM50,000 sekali gus layak ke Pentas Epik 3 Juara yang akan berlangsung Ahad ini.
Bagi Azizul, dia tidak menjangkakan juara irama Malaysia miliknya memandangkan Nura juga menampilkan persembahan yang turut mencuri tumpuan peminat serta juri.
“Saya ingin ucapkan ribuan terima kasih kepada Pak Ngah kerana sentiasa mahukan semasa melakukan latihan. Dia jarang sekali memuji saya, malah sentiasa menekan supaya saya menyanyi dengan lebih baik.
“Saya mengambil situasi itu dengan positif untuk membuat persembahan terbaik semasa latihan,” katanya.
Juara balada, Salma berkata, dia akan mempersiapkan dirinya untuk menyanyikan lagu genre rock dan irama Malaysia memandangkan kesemua peserta akan menyanyikan lagu bukan daripada genre mereka semasa Pentas Epik 3 Juara.
“Untuk persembahan di Pentas Epik nanti, cabarannya pasti lebih besar kerana kami perlu menyampaikan lagu genre berbeza,” katanya.
Nyanyi bukan genre
Sementara itu, Penerbit Eksekutif 3 Juara, Muhamad Sufian Che Isa berkata, untuk Pentas Epik 3 Juara, kesemua peserta bakal menyanyikan lagu yang bukannya genre mereka.
Malah, tambah Sufian, Kudien, Salma dan Azizul perlu berduet dengan artis yang bukannya daripada genre mereka.
“Contohnya, mungkin Azizul perlu berduet dengan artis genre rock manakala Salma pula perlu berduet dengan artis irama Malaysia.
"Kita mahu beri cabaran baru kepada Kudien, Salma dan Azizul supaya mereka tidak selesa dengan genre dinaungi ketika ini.
“Selain itu, inilah keunikan 3 Juara. Kita mahu tonjolkan satu format yang baru dalam program realiti nyanyian di dalam negara,” katanya bersemangat.
Pentas Epik 3 Juara akan berlangsung di venue yang sama, iaitu Sri Pentas 2, Shah Alam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan