Keengganan Nora menyanyikan lagu yang diberikan pada konsert Gegar Vaganza di minggu akhir, menyebabkan penyanyi itu menerima pelbagai cemuhan dari peminat yang tidak berpuas hati.
Geram dengan tuduhan melampau sesetengah peminat di laman sosial, suami Nora iaitu komposer Johan Nawawi membuat keputusan untuk mengambil tindakan undang-undang ke atas pihak yang melemparkan fitnah kepada isterinya.
“Buat masa sekarang saya berdiam diri dahulu. Tetapi jika selepas ini masih ada komen-komen yang dilemparkan berbaur fitnah saya tak teragak-agak untuk membuat laporan polis. Saya sudah membuat beberapa paparan skrin akaun pengguna laman sosial beserta komen mereka yang memfitnah saya dan keluarga. Bagi saya perkara itu mengganggu ketenteraman kami”
“Kalau nak komen atau kritik berkenaan nyanyian tak mengapa. Tapi apabila sampai tahap memfitnah itu sangat keterlaluan. Kenapa perlu menuduh saya membayar pihak Astro agar isteri mendapat lagu yang sesuai dengannya. Lebih teruk apabila ada komen mengatakan isteri saya mempunyai hubungan sulit dengan VIP,” katanya seperti yang dilaporkan Harian Metro.
Dalam masa yang sama, Johan turut merujuk serta mendapatkan nasihat daripada bahagian siasatan jenayah siber Polis Diraja Malaysia Bukit Aman berhubung dengan perkara berkenaan.
Semalam pula, Johan telah memuat naik status di laman Instagram berkenaan sikap kurang ajar peminat yang menabur fitnah terhadap isterinya serta tidak sensitif dengan isu ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan