3 Jan 2017

Setia DJ Lin berbalas DJ LIN

Diakui 2016 membawa kenangan paling manis buat Dj Lin apabila menjulang trofi Penyampai Radio Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian ke-29 (ABPBH29) dengan menewaskan nama besar lain.

Kejayaan yang dicapai selepas 16 tahun bergelar penyampai radio menjadi pemangkin buat DJ Lin atau nama sebenarnya Roslinda Abdul Majid, 40, untuk terus memberikan hasil terbaik terutama menerusi program kendaliannya, Suria Cinta.

“Syukur, alhamdulillah, saya akhirnya meraih kejayaan selepas menempuh pelbagai cabaran. Saya sangat setia dengan Suria FM sejak mula ditubuhkan dan boleh dikatakan nama saya sangat sinonim dengan stesen ini.

“Bahkan saya antara orang yang bertungkus-lumus bertemu pihak media untuk mempromosikan Suria FM kepada pendengar ketika mula ditubuhkan.

“Penyampai awal stesen ini sudah membawa haluan masing-masing tapi saya masih kekal bertahan di sini,” katanya.

DJ Lin berterima kasih kepada peminat yang memilihnya dan mengakui baru sekarang merasai bahang sebagai selebriti.

“Sebelum ini masih ada segelintir peminat yang kurang mengenali saya, namun, sekarang agak berbeza apabila mereka mula menyapa dan minat bergambar setiap kali berjumpa.

“Paling mengujakan apabila rezeki saya semakin murah apabila banyak tawaran sebagai duta diterima.

“Sudah semestinya saya berbangga dengan diri sendiri kerana ini datangnya daripada susah payah yang dilalui,” katanya.

Begitupun dalam kegembiraan yang dikecapi, terselit perasaan kecewa dihatinya apabila menjadi mangsa pihak yang ingin menjatuhkannya dengan melemparkan dakwaan negatif.

“Sepatutnya mereka ambil saya sebagai contoh kerana saya sangat bekerja keras untuk berjaya tanpa menggunakan pengaruh orang dalam.

“Malah, saya pernah tidur di pejabat, tidak berjumpa anak dan menangis seorang diri demi kelangsungan kerjaya ini.

“Saya percaya kalau seseorang itu bagus, campak ke mana pun dia tetap akan berjaya membina hidupnya,” katanya mengakui mengenali individu yang berbuat demikian.

Menurutnya, dia bersyukur kerana diuji sebegini dan kini berhati-hati dalam setiap langkahnya.

“Fitnah yang dilakukan mereka tak berjaya kerana pengurusan sangat mengenali saya. Apa yang saya lakukan selama ini semuanya untuk kebaikan stesen.

“Saya pernah buat tiga kerja dalam satu masa untuk Suria FM dan kalau ada di antara mereka ini tak boleh buat apa yang saya pernah buat, tak perlulah nak bercakap banyak.

“Inilah masanya untuk saya tahu siapa kawan dan siapa lawan. Saya kini amat berhati-hati dan berdoa agar tidak ditemukan lagi dengan orang sebegini. Saya tak pernah ganggu orang dan diharapkan mereka juga tak ganggu hidup saya,” katanya.

Sambutan ulang tahun meriah

Sabtu lalu, DJ Lin mengadakan majlis sambutan ulang tahun kelahirannya serta turut mengambil kesempatan meraikan ulang tahun ke-10 program Suria Cinta.

Selain 100 ahli kelab peminat, majlis ini turut dimeriahkan dengan kehadiran artis antaranya Aiman Tino, Sufian Suhaimi, Afee Utopia, Hazami, Syamel dan kumpulan Lovehunters.

Dia mengakui bertungkus-lumus merancang majlis ini bagi menghargai peminat yang setia menyokongnya sehingga berjaya meletakkan Suria Cinta sebagai program paling popular.

“Memang majlis ini khas buat mereka. Bagi saya tanpa peminat siapalah saya. Patutnya pihak yang bersikap negatif ini ikut cara saya yang menjaga peminat.

“Mereka kena contohi bagaimana saya menjawab komen di laman sosial, buat acara, turun padang ke rumah peminat setiap kali hari raya menggunakan wang sendiri.

“Apa yang saya lakukan inilah yang membantu menaikkan rating program. Kualiti program pun mesti dijaga,” katanya.

Bercerita mengenai Suria Cinta, Dj Lin mengakui masih seronok mengendalikan program yang bersiaran enam kali seminggu dari jam 8 malam hingga 1 pagi itu.

“Saya tidak pernah berasa penat kerana suka dengan apa yang dibuat. Saya cari rezeki menerusi suara.

“Sekarang saya perkenalkan pula segmen #APAITUCINTA apabila akan mengundang artis atau selebriti popular untuk berbicara mengenai pahit manis kisah cinta mereka.

“Selain itu, saya akan anjurkan pertandingan Karaoke Tangkap Leleh DJ Lin di seluruh negara serta akan terbabit dengan Konsert Kemuncak 10 Tahun Suria FM,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan