3 Jan 2017

Raysha mula dapat rentak

Juara pertandingan Dewi Remaja 2014/2015 Raysha Rizrose mengakui bukan mudah untuknya bergerak solo selepas tamat kontrak dengan pihak Astro Talent.

Menurut Raysha, 21, selepas sebulan dia menguruskan kerjaya sendiri banyak perkara dipelajari terutama dari segi pengurusan masa dan berurusan dengan pihak lain.

“Apa saya boleh katakan, perkara ini ada pro dan kontra. Jika sebelum ini pihak pengurusan yang mengatur segala jadual kerja tapi sekarang tidak lagi. Segalanya saya perlu buat sendiri dari A sampai Z.

“Diakui agak susah pada mulanya nak menguruskan kerjaya sendiri tapi selepas sebulan segalanya berjalan lancar. Memandangkan saya mahu memberi fokus kepada bidang lakonan, jadi tidak boleh main-main. Apa saja peluang yang datang ketika ini saya perlu terima.

“Ada bagusnya juga bila bergerak sendiri kerana ia mengajar saya lebih berdikari. Paling penting saya dapat mengetahui sendiri berkenaan sesuatu perkara tanpa melalui pihak ketiga. Pada masa sama ia lebih mematangkan saya untuk terus bergerak aktif dalam bidang ini,” katanya.

Raysha yang juga adik pelakon Uqasha dan Nelydia berkata, pembabitannya dalam drama Misi Laksam Dan Laksa yang dalam proses penggambaran ini adalah projek yang ditawarkan kepadanya selepas bergerak sendiri.

Menariknya, drama yang bakal ditayangkan di TV3 itu diharap dapat membuka lebih banyak peluang untuk Raysha menonjolkan bakat dalam bidang lakonan.

“Projek ini adalah penampilan sulung saya dalam drama bersiri. Sebelumnya, saya banyak terbabit dalam telefilem saja. Jadi apabila terpilih membintangi drama ini, ia satu peluang keemasan untuk lebih dikenali.

“Pada masa sama, saya bertuah kerana drama ini bakal ditayangkan di TV3. Saya berharap diberikan lebih banyak peluang selepas drama ini disiarkan kelak,” katanya.

Minat menyanyi

Dalam pada Raysha memberi fokus kepada bidang lakonan, dia sebenarnya memasang impian menghasilkan single.

Kata pelakon filem Dukun Doktor Dani, minatnya terhadap bidang nyanyian wujud sejak kecil.

“Kalau diikutkan saya nak menjadi penyanyi. Bukan apa minat menyanyi sudah ada sejak kecil. Malah, kedua-dua kakak saya pun memberi dorongan ke arah itu. Sekurang-kurangnya antara kami ada yang terbabit dalam bidang lain.

“Namun, buat masa sekarang peluang lebih kepada bidang lakonan. Jadi tak salah untuk saya meneruskan kerjaya ini dahulu. Mungkin pada masa akan datang baru nak menyanyi pula. Biarlah nama dikenali dahulu baru mencuba perkara lain,” katanya.

Raysha berkata, jika diberi peluang merakamkan lagu dia memilih genre balada atau R & B.

Pada masa sama, Raysha turut berbakat dalam bidang pengacaraan. Malah pernah beberapa kali mendapat tawaran mengacara program namun ditolak cara baik.

“Saya bukan menolak rezeki, tapi ketika itu saya terikat dengan komitmen kerja lain. Bagaimanapun, saya percaya pada rezeki. Kalau bukan dalam bidang itu, saya terbabit dalam bidang lain pula,” katanya.

Berkongsi mengenai sisi peribadinya, semua maklum Raysha kini menjalin hubungan dengan pelumba kereta GP2, Nabil Jefri.

“Kami sudah berkawan sejak enam tahun lalu sebelum saya menyertai Dewi Remaja. Diakui saya memang rapat dengan keluarganya. Malah, baru-baru ini mereka mengajak saya bercuti bersama di Abu Dhabi selama seminggu,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan