Penyanyi Shiha Zikir memberitahu antara sikapnya yang mungkin berbeza dengan orang lain apabila dia tidak gemar menghabiskan masa melepak dan melakukan perkara tidak berfaedah.
Shiha, 30, berkata, dia juga tidak pernah bersosial atau mencari hiburan di kelab malam seperti anak muda lain.
“Saya seorang yang kuat bekerja dan sejak tamat sekolah lagi saya sudah mula bekerja menanggung keluarga, jadi masa untuk melepak memang tiada.
“Kalau keluar dengan kawan-kawan pun selalunya tidak lama kerana saya akan fikir fasal kerja, selain itu, saya tidak pernah pergi ke kelab malam kerana tidak berminat untuk bersosial.
“Kalau ingin menonton live band pun hanya di tempat yang terbuka," ujarnya.
Shiha atau Nurshiha Mohd Zikir, ditemui pada majlis pelancaran video muziknya iaitu Seperti Novel Cinta yang diadakan di Neway Karaoke di sini, Rabu.
Selain itu, Shiha berkata, dia turut menolak tawaran berlakon drama dengan watak gadis liar berikutan tidak mahu terpalit dengan persepsi negatif berkenaan.
"Saya ada menerima tawaran drama yang perlu membawa watak gadis liar dan terlalu sosial tapi saya tolak.
"Saya tidak suka dan tidak mahu akan dilihat dengan imej liar kerana saya sendiri tidak pernah melalui siatuasi itu," ujarnya.
Sementara itu, bercakap tentang video muziknya, Shiha berkata, dia mengambil masa yang lama untuk menghasilkan video itu kerana perlu menyelesaikan beberapa promosi lain yang lebih penting.
Katanya, perkara itu tertangguh kerana dia terlibat dengan projek lagu duet bersama kumpulan D'Massive berjudul Jangan Bilang Siapa-Siapa.
"Lagu ini sudah lama iaitu sudah hampir setahun jugalah baru keluar muzik video.
"Saya perlu buat perkara yang lebih penting dahulu iaitu projek bersama kumpulan D'Massive yang ingin dikeluarkan lebih awal.
"Tapi saya berpuas hati dengan hasil video muzik berkenaan dan berharap dapat diterima peminat," ujarnya.
Video muzik lagu ciptaan Ajai itu sudah boleh ditonton di laman YouTube rasmi Warner Music.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan