Meskipun kembara seninya bermula dengan seribu satu cabaran, kini komposer dan penyanyi Ippo Hafiz, 28, sudah mampu tersenyum puas.
Sejak bernaung bawah Indigital Music, secara tidak langsung turut membantu melancarkan perjalanan karier seninya.
Ippo juga baru muncul dengan album sulung, Ippo Hafiz yang memuatkan 11 lagu popular hasil ciptaannya. Antaranya lagu Kekal Bahagia, Ku Takkan Mampu, Kasih Dalam Hati, Hujan Sepi, Yang Terindah dan Ku Ingin Kamu.
Satu keistimewaan Ippo atau Muhammad Hafiz Yaziz banyak lagu hasil ciptaannya dipilih untuk lagu runut drama atau OST. Bukan hanya lagu nyanyiannya sendiri malah untuk penyanyi lain.
Ippo berkata, memang strategi dan menjadi fokusnya menghasilkan lagu untuk runut drama.
Dia berani mencabar diri untuk lebih banyak mencipta lagu runut drama kerana mendapati tidak ramai saingan dalam kalangan komposer.
“Saya lihat ia satu langkah berkesan untuk dijadikan platform mengetengahkan karya seni kepada masyarakat.
“Dalam beberapa tahun ini saya sudah melihat hasilnya apabila karya diterima peminat,” katanya.
Pemuda dilahirkan di Perak ini juga mengakui tidak mudah menghasilkan lagu tema drama tetapi kebanyakan drama sebelum ini menggunakan lagu yang sudah lama disiapkan.
“Selain lagu lama, ada juga lagu baru yang memang saya hasilkan khusus untuk runut drama mengikut permintaan penerbit.
“Sebagai komposer, saya selesa menghasilkan lagu runut drama mengikut permintaan penerbit kerana boleh berkongsi idea dan pendapat.
“Dalam soal memilih lagu tema ini, kebanyakan penerbit ingin sesuatu yang baru. Bahkan, ada juga lagu yang diberi nafas baru,” katanya.
Mengambil inspirasi daripada kejayaan Allahyarham Tan Sri P Ramlee, Ippo berkata penciptaan lagu khas untuk drama atau filem itu sebenarnya suatu yang klasik.
“Lihat saja hingga kini banyak lagu ciptaan P Ramlee masih berjaya menambat hati peminat tak kira usia. Bagi saya adalah sangat relevan apabila berjaya menghasilkan lagu tema yang membantu bergerak seiring dengan drama,” katanya.
Ippo juga gembira karya lagunya untuk drama Cinta Si Wedding Planner bertanding dalam kategori Lagu/OST Pilihan sempena Drama Festival Kuala Lumpur 2017 (DFKL 2017).
Apa pun katanya, menang atau kalah adat bertanding dan dia serahkan semuanya kepada ketentuan rezeki Ilahi.
“Jika drama Cinta Si Wedding Planner berjaya, ia bukan datangnya daripada hasil kerja saya seorang sebaliknya ia kerja berpasukan.
“Apapun, semuanya terserah kepada pilihan penonton dan peminat. Untuk saya, fokus pada hasil kerja seterusnya menjadi keutamaan,” katanya.
Berbicara mengenai kerjasamanya dengan penyanyi lain, Ippo berkata dia baru saja melancarkan single terbaru untuk Ronnie Hussein.
Ronnie kini muncul dengan single Menanti Janji yang menjadi lagu tema drama Biar Aku Jadi Penunggu lakonan Janna Nick dan Ashraf Muslim yang disiarkan TV3 sebelum ini.
Artis lain yang turut bekerjasama dengan Ippo selepas ini ialah Zarul Umbrella, Intan Sarafina, Qody (Mentor Milenia) dan Azmil Karim.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan