Berbaki hanya enam hari lagi untuk peminat menyaksikan Konsert Gegar Pop Yeh Yeh di Panggung Sari, Istana Budaya (IB) bermula pada 3 Mac dan akan berakhir pada 5 Mac.
Persiapan dan sesi latihan untuk konsert anjuran CTRA Production dengan kerjasama Istana Budaya dan Persatuan Generasi Seni Malaysia (GenSeM) ini sedang rancak berjalan.
Konsert ini bukan saja menampilkan kegemilangan muzik pop yeh yeh yang pernah menjadi fenomena, bahkan mengimbau kenangan meliputi aspek muzik, lagu, nyanyian, fesyen, tarian, suasana dan elemen 60-an itu sendiri.
Tidak hanya terikat dengan artis era 60-an, Konsert Gegar Pop Yeh Yeh turut membuka pintu kepada dua artis muda iaitu Aiman Tino dan bekas finalis Akademi Fantasia 2013, Amira Othman.
Mereka akan bergandingan dengan J Sham, Maria Bachok, A Rozaini, Datuk L Ramli, Datuk A Rahman Hassan dan Datuk Jeffrydin bagi menjayakan konsert selama dua jam menggunakan tagline ‘Membawa Memori Sebagai Inspirasi’.
Persembahan ini akan diiringi Orkestra Tradisional Malaysia (OTM) sekali gus menjanjikan kepuasan buat peminat yang hadir nanti.
Konsep persembahan pula dibahagikan kepada tiga segmen iaitu segmen solo, tribute dan duo/battle.
Persembahan akan dimulakan dengan segmen solo menampilkan tujuh artis yang menyanyikan lagu hit mereka sendiri.
Ia akan diteruskan dengan segmen tribute yang akan mengenang lagu yang pernah dipopularkan artis pop yeh yeh yang sudah tiada.
Segmen ini pula dipecahkan kepada dua iaitu tribute artis tempatan dan artis antarabangsa. Konsert Gegar Pop Yeh Yeh akan diakhiri dengan segmen duo/battle apabila setiap artis akan digandingkan berdua bagi menyanyikan lagu secara duo dengan menukar lagu masing-masing.
Amira yang popular menerusi lagu Hati-Hati mengakui teruja diberi kesempatan beraksi bersama barisan bintang legenda dalam konsert ini.
“Inilah peluang terbaik untuk saya menimba pengalaman beraksi di IB. Jangan ingat penyanyi generasi baru seperti saya tak minat lagu pop yeh yeh.
“Saya selalu jadikan penyanyi senior sebagai inspirasi untuk berjaya. Paling tak sabar saya akan berduet dengan Datuk A Rahman Hassan melalui lagu Bahagia Hendaknya.
“Kami sama-sama berasal dari Johor dan ini ibarat satu penghormatan besar kepada saya. Paling utama, ini lagu popular milik isterinya, Datin Azizah Mohamad yang sudah kembali ke rahmatullah,” katanya.
Selain itu, penyanyi berusia 23 tahun ini juga akan mendendangkan sebuah lagu Allahyarham Azizah iaitu Syurga Idaman dan lagu Suzanna serta I Follow Him yang dipopularkan oleh Peggy Marc.
Sementara itu, Aiman Tino turut berbangga diberi kepercayaan terbabit dalam konsert istimewa ini.
“Saya anggap ia satu cabaran baru kerana belum pernah menyanyikan lagu irama pop yeh yeh sebelum ini.
“Saya kini giat menjalani latihan dan sedikit demi sedikit sudah menghayati konsep muzik pop yeh yeh sekarang,” katanya.
Tiket untuk menonton konsert ini berharga RM56, RM86, RM116, RM156 dan RM186 boleh didapati menerusi http://ift.tt/1aoEfvg atau terus ke laman Facebook: ctraproduction.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan