25 Feb 2017

Dapat Anak Kedua, Hairi Safwan Sujud Syukur Dalam Kapal Terbang

Pelakon Hairi Safwan melakukan sujud syukur dalam kapal terbang semasa perjalanan pulang ke Kuala Lumpur dari Madinah selepas dimaklumkan isterinya selamat melahirkan anak kedua mereka pada Khamis.

Hairi yang juga juara program realiti Anak Wayang musim pertama berkata, dia sebelum itu berada dalam keadaan bimbang dan resah apabila mengetahui isterinya itu bakal bersalin terutamanya awal tiga minggu daripada tarikh jangkaan.

"Alhamdulillah isteri saya selamat melahirkan anak kedua kami kira-kira pukul 5 pagi pada 23 Februari lalu. Keadaan isteri dan bayi berada dalam keadaan sihat.

"Saya sebelum itu rasa tak senang hati dan bimbang kerana tidak berada bersama isteri selain tidak mendapat khabar mengenai keadaannya.

"Bagaimanapun sebelum penerbangan berlepas saya mendapat mesej daripada ahli keluarga memberitahu isteri sudah pun selamat bersalin.

"Terus saya sujud syukur dalam pesawat kerana gembira dan ia adalah hadiah dari Madinah," katanya.

Hairi atau Mohd Hairi Safwan Aznan, 29 berkahwin dengan Fara Afiza Azman pada 22 Mac 2014 di Kepala Batas, Pulau Pinang.

Selain melakukan Umrah, Hairi berada di Tanah Suci bagi menjalani penggambaran drama Kisah Dari Mekah yang diarahkan bersama Penerbit Zeel Production iaitu Fadzil Teh.

Ia menampilkan barisan artis seperti Lydiawati, Rozita Che Wan, Zain Saidin, Aaisyah Rania, Nur Risteena, Ruhainies, Cik Manggis dan Redza Rosli.

Dalam pada itu, Hairi berkata, dia berasa bimbang dengan keadaan isterinya kerana wanita berkenaan mengalami alahan teruk sepanjang kehamilan selain pernah pengsan akibat keletihan dan kekurangan air dalam badan.

Lebih membimbangkan kata Hairi, Fara juga mengalami masalah cakera gelincir (slip disc) yang menyukarkannya bergerak.

"Sebelum berangkat ke Tanah Suci saya bimbang juga hendak tinggalkannya kerana masalah yang dihadapinya sepanjang kehamilan.

"Alhamdulillah berkat sokongan dan bantuan keluarga semuanya dipermudahkan," katanya.

Sementara itu, Hairi berkata, sejurus tiba di Kuala Lumpur pada petang Khamis dia terus berangkat ke Alor Star, Kedah untuk bertemu dengan isteri dan bayi lelakinya yang diberi nama Azad Hakim.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan