Penyanyi Aiman Tino berkata sejak kebelakangan ini waktu tidurnya begitu terhad sehingga memaksa dia mengambil vitamin tambahan untuk kekal cergas dan bertenaga.
Aiman atau nama sebenarnya Mohd Aiman Yusri, 19, berkata, kesibukannya dalam menjayakan pelbagai urusan seni membuatkan dia kurang mendapat waktu tidur yang berkualiti.
"Macam semalam, saya hanya dapat tidur dua jam sahaja apatah lagi sudah mula masuk ke studio rakaman untuk persiapan single ketiga dan keempat.
"Justeru bagi memastikan diri terus bertenaga, saya mula mengambil vitamin tambahan bagi mengelak dari mudah terkena sakit seperti demam dan selsema," katanya.
Aiman ditemui pada majlis sidang media Konsert Gegar Pop Yeh Yeh di Istana Budaya, di sini, pada Selasa.
Aiman Tino antara artis yang akan menjayakan konsert tersebut bersama enam penyanyi popular era 60-an.
Konsert itu akan berlangsung pada 3 hingga 5 Mac depan bertempat di Panggung Sari Istana Budaya.
Dalam pada itu kata pelantun lagu Permata Cinta ini lagi, kesibukan yang dilaluinya hari ini bukanlah alasan untuk dia merungut sebaliknya ingin terus mengambil peluang yang ada selagi bakatnya diperlukan.
"Ini adalah rezeki Allah beri dan saya kira peluang yang ada inilah perlu saya manfaatkan selagi termampu.
"Buat masa ini saya bersyukur kerana kesihatan masih baik cuma sesekali saya agak risau berlaku gangguan suara pada sebelah malam kerana sudah mula masuk studio rakamanm,” katanya.
Tambahnya lagi, dia menyasarkan untuk merakamkan sebanyak enam buah lagu yang akan digabungkan menjadi sebuah album mini dalam tahun ini.
Dalam perkembangan lain, Aiman berharap peminat tidak terus kecewa untuk datang ke restoran milik keluarganya iaitu Restoran Asam Pedas yang di Dataran Kuala Kubu Bharu dengan niat untuk bertemu dengannya.
"Saya tahu ramai yang mula datang nak berjumpa saya di situ tetapi saya tidak ada masa yang tepat untuk memberitahu bila waktunya saya ada di sana kerana jadual seni saya padat dan tidak menentu.
“Apa-apa pun kata Aiman, sekiranya ada kelapangan, dia tetap akan meluangkan masa membantu keluarga dan melayan peminat di restoran itu.
"Saya dapat tahu kebanyakan peminat datang pada hari minggu sebaliknya pada waktu tersebut saya sentiasa sibuk dengan urusan show.
"Jadi saya cadangkan seelok-eloknyanya datanglah pada hari biasa kerana besar kemungkinan anda boleh berjumpa saya dan merasa sendiri menu Char Kuey Teow daripada air tangan saya," ujarnya tersenyum.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan