Dua puluh tahun menyepi tanpa khabar adalah satu tempoh agak lama buat sesiapa saja. Begitu halnya dilalui penyanyi Oja atau Daninas Huza Daud, 37, yang pernah dikenali sekitar 90-an dulu.
Kini Oja kembali bersama kumpulan Tunable Band yang dianggotai Nourul atau Nourul Fikri Abdul Samad, 37, (gitar), Botak atau Kamaruzaman Younus, 34, (bass) dan dua bekas anggota kumpulan Spoon yang popular sekitar 90-an, Boy atau Saifulnizam Mohamed Jelani, 37 (gitaris) dan Shahnaz atau Mohd Shahnaz Shaharudin, 37 (dram).
Segalanya bermula apabila dia dipilih sebagai penyanyi untuk projek pembikinan album Spoon yang baharu.
Katanya, mereka mula mendapat perhatian selepas muncul sebagai artis jemputan pada program Gegar Vaganza 2014.
“Penyanyi bersilih ganti dan ini sebuah projek yang kami usahakan untuk album terbaru Spoon. Tapi pada masa sama, kami mahu tampil dengan imej segar, tambah pula genre muzik semakin urban.
“Elemen 90-an juga masih perlu ada sebagai sebahagian daripada muzik kami. Dari situ, kami sepakat menghasilkan muzik yang lebih besar di segi susunan, terutama dengan penambahan muzik orkestra,” katanya.
Oja and Tunable Band mempertaruhkan album penuh termasuk single Cukup Sekali yang sudahpun dilancarkan Oktober tahun lalu.
Kata Oja, Cukup Sekali dipilih daripada 10 lagu dalam album itu susulan melodi dan liriknya yang mudah diingati pendengar.
“Ia bukan saja kerana melodi dan lirik yang mudah diingati tapi ia boleh jadi siulan. Jujurnya agak sukar untuk memilih lagu yang dimuatkan ke dalam album ini dan Cukup Sekali yang dilihat lebih sesuai untuk pengenalan album,” katanya mahu terus kekalkan genre muzik balada dan ‘slow-rock’.
Dalam pada itu, Nourul akui peringkat awal lagu itu dicipta untuk kumpulan Spoon tapi disebabkan timbul beberapa isu, ia diserahkan kepada Oja and Tunable Band.
Katanya, ketika Cukup Sekali dicipta, dia dan Spoon berdepan masalah peribadi yang tidak dapat dielakkan. Malah waktu untuk menghimpunkan semua ahli kumpulan juga terhad kerana komitmen lain.
Ditanya reaksi peminat asal kumpulan Spoon apabila berlaku penjenamaan semula kepada Tunable Band, Nourul akui ada yang tidak boleh terima.
“Peminat kami berbelah bagi, ada yang setuju, kecewa, kecam dan ada yang meminta kami kekal dengan nama asal. Kami ada alasan tersendiri terpaksa berbuat demikian.
“Biarpun ada yang mengecam dan tidak bersetuju, kami melihat dari sudut optimis. Ia bermakna masih ada pihak yang ambil tahu pasal kami.
“Nama Spoon sudah jadi legasi dan berada dalam liga tersendiri, ia tidak boleh dipertikaikan lagi. Lagu-lagu Spoon masih malar segar dan dinyanyikan peminat terutama di pusat-pusat karaoke,” katanya tenang.
Biarpun bermula sebagai band projek, mereka mahu mencuba sesuatu yang baharu tapi masa sama masih mengekalkan barisan pemuzik lama.
Bercakap mengenai Cukup Sekali, Nourul berbangga sebab lagu itu mendapat perhatian masyarakat luar negara.
Katanya, sejak lagu itu dimuat naik ke laman Smule, aplikasi dalam talian untuk peminat karaoke, Cukup Sekali sudah dinyanyikan ‘mat salleh’ dari Jerman dan Sweden.
Menariknya, biarpun nama Oja and Tunable Band masih hijau dalam industri hiburan tempatan, satu lagi lagu mereka yang dimuatkan dalam album sama, Sayang Mengundang dipilih menjadi lagu runut filem (OST) Aku Bukan Spy.
Filem usahasama produksi Malaysia dan Indonesia itu ditayangkan pada Januari ini. Ia turut dibarisi pelakon tempatan antaranya Nasha Aziz, Siti Saleha, Keith Foo dan Rosnah Mat Aris.
Sebelum itu, lagu mereka yang dinyanyikan Oja juga pernah menjadi OST untuk drama Menantu Ting Tong dan telefilem Suara Azan.
Oja and Tunable Band juga sudah mula menghasilkan lagu kompilasi sempena hari raya sebagai melengkapkan senarai lagu sedia ada.
Memetik kata-kata nasihat daripada penyanyi popular Indonesia, Opick, yang pernah menasihati mereka supaya jangan berhenti untuk berkarya.
Bagi mengekalkan kelangsungan kumpulan itu, mereka turut mengambil inisiatif menubuhkan syarikat rakaman sendiri dikenali Tunable Records Sdn Bhd.
Selain mengurus kumpulan sendiri, mereka turut mengurus beberapa artis baru antaranya Qorina yang mampu memberi warna tambahan ke dalam industri hiburan tempatan.
Imbas kembali, Oja pernah bergelar penyanyi di era 1990-an dan mempunyai beberapa buah album seperti Anak Jalanan (1992), Oja & Mastura (Ceneke- 1994) serta Oja & Mastura (Apo Salah Eh - 1995).
Kumpulan Spoon pernah dianggotai Allahyarham Along Spoon (Sabi’ul Malik Shafiee) dan kemudian adik Allahyarham, Azlong.
Popular dengan lagu Rindu Serindu-rindunya, Spoon sempat muncul dengan dua album yang dianggap terbaik, Spoon - Spoon (1998), Spoon - Kembali Merindu (1999).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan