3 Jan 2017

Media sosial bantu naik rating SITI Nurlisia

Mahu terus memberikan persembahan terbaik buat peminat setia TV3 dan TV9 untuk tahun ini. Itu janji Pengurus Besar Kumpulan Pengurusan Jenama dan Rancangan Rangkaian TV3 & TV9, Siti Nurlisia Mohd Nadzri ketika mengulas prestasi program drama yang disiarkan sepanjang 2016.

Menurutnya, pihaknya bersyukur kerana penerimaan drama TV3 dan TV9 tahun lalu amat memberangsangkan. Melalui sembilan slot drama di kedua-dua stesen ini, setiap slot menunjukkan prestasi yang sangat baik.

“Media sosial sangat membantu peningkatan penonton untuk stesen kami. Segala program sama ada rancangan realiti mahupun drama bersaing hebat.

“Apabila peminat hashtag tajuk sesebuah drama, ia menjadi trending dan secara tak langsung meningkatkan jumlah penonton.

“Dua slot yang diperkenalkan tahun sebelumnya iaitu Dahlia (mencapai 2 juta ratings) dan Iris (1.2 juta) kini semakin mengejar slot lain iaitu Azalea, Akasia, Lestary, Samarinda, Zehra, Cerekarama dan Skrin di 9,” katanya.

Menurutnya, amat membanggakan apabila drama 7 Hari Mencintaiku yang disiarkan pada pertengahan Disember lalu berjaya meraih rating tertinggi iaitu 5 juta penonton.

“Kami bersifat telus melaporkan setiap angka dalam laporan kami. Oleh itu, kami menggunakan khidmat AC Nielsen untuk menyukat rating setiap program kami.

“Ia diukur pada setiap satu jam, tidak ditokok tambah dan dicampurkan dengan siaran ulangan.

“Daripada segi percaturan naskhah, ia bergantung pada cerita kedua-dua jenis drama. Barisan pelakon dan semua unit produksi juga membantu peningkatan.

“Sebuah naskhah yang bagus itu merangkumi keseluruhan aspek produksi. Ia merangkumi jalan cerita, skrip yang bagus, pengarahan, pelakon dan pelbagai aspek lain. Pemilihan pelakon adalah sebahagian proses ini,” katanya.

Nurlisia berkata, setiap slot mempunyai tarikan tersendiri dalam kalangan penonton yang mengikutinya.

“Drama 7 Hari Mencintaiku, Cinta Masam Manis, Patahnya Sebelah Sayap dan Sweetie Nanie yang semuanya daripada slot berbeza ternyata diminati ramai.

“Kami berani mengetengahkan pelakon baru untuk muncul dalam waktu perdana. Yang selebihnya adalah faktor penonton yang membantu daripada segi rating.

“Untuk tahun ini kami tetap akan gabungkan resipi yang sama kerana kami ikut trend yang peminat suka.

“Peminat sekarang sukakan novel dan dalam masa sama kami membantu juga sektor penulisan. Tapi ada juga drama bukan dari novel seperti Sweetie Nanie yang mampu mengecapi rating tertinggi dalam slot itu sepanjang tahun ini,” katanya.

Katanya, drama adaptasi novel pula biasanya sudah mempunyai pengikut tersendiri.

“Drama adaptasi novel ini sebenarnya berdasarkan penghantaran ‘proposal’ atau ‘pitching’ daripada penerbit.

“Sekiranya mereka masih menghantar idea mereka, kami akan siarkannya. Jika sekiranya tiada proposal daripada penerbit, maka tiadalah drama adaptasi novel ini.

“Bagaimanapun kami pastikan setiap drama yang dihasilkan mempunyai mesej tersendiri kepada penonton. Ia perlu ada pengajaran di dalamnya.

“Kami tertakluk kepada Lembaga Penapisan Filem dan JAKIM agar tak bercanggah dengan nilai murni masyarakat,” katanya.

Siti Nurlisia turut menolak dakwaan syarikat milik Media Prima Berhad, Primeworks Studios mendapat laluan mudah menghasilkan drama untuk TV3 dan TV9.

“Keutamaan kepada mereka memang ada tapi mereka juga perlu menghantar cadangan kepada kami seperti penerbit luar.

“Untuk tahun ini kami masih kekalkan beberapa slot drama popular di TV3 dan TV9 serta akan memperkenalkan slot drama bergenre seram komedi yang dinamakan Seramedi di TV3 dan Kelakarama di TV9.

“Seramedi akan bermula dengan drama Misteri Wan Peah manakala Kelakarama dengan drama Namaku Bedah. Kedua slot ini akan bermula pada Februari. Slot Azalea di TV9 akan dihentikan,” katanya.

Mengulas segi pemilihan pelakon pula Nurlisia berkata, ia ditentukan berdasarkan kesesuaian mereka memegang watak.

“Kebiasaannya dalam proposal yang diberikan, mereka akan berikan cadangan pelakon yang terbabit. Tapi kami perlu lihat adakah watak yang diberikan sesuai dengan mereka.

“Kami tak amalkan pilih kasih kerana amat menggalakkan wajah baru muncul dalam drama. Cuma kadangkala kebetulan seseorang pelakon kerap muncul di stesen kami.

“Ramai juga yang tertanya-tanya mana perginya Zul Ariffin di TV3. Dia sibuk dengan projek filem dan selepas ini dia akan kembali dalam slot Samarinda berjudul Menanti Februari,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan