10 Jan 2017

Masih Belum Terima Baki Bayaran Konsert, Yasin Anggap Dianiaya

Penyanyi Yasin Sulaiman, 42, meluahkan rasa tidak puas hati apabila dia dan anggota kumpulan Brothers belum menerima baki bayaran Konsert 3 Kejora Bersatu yang berlangsung di Istana Budaya pada 7 dan 8 Oktober tahun lalu.

Memetik laporan Harian Metro, Yasin berkata, mereka hanya menerima wang pendahuluan sebanyak 25 peratus daripada jumlah keseluruhan namun sehingga hari ini belum ada sebarang perkembangan mengenai baki bayaran itu.

Yasin menyifatkan perkara itu sebagai penganiayaan, bukan sahaja kepada penyanyi yang membuat persembahan tetapi juga pemuzik yang menjayakan konsert terbabit.

"Selain kami (Brothers) dan kumpulan lain, 26 pemuzik yang terbabit dalam konsert ini juga belum menerima baki bayaran. Perlu difikirkan komitmen semua pihak bukanlah sedikit.

"Untuk latihan sahaja, memakan masa berbulan lamanya. Penyanyi mungkin boleh menampung hidup dengan persembahan dan sebagainya. Bagaimana pula dengan pemuzik yang mungkin bergantung kepada bayaran itu?" katanya.

Yasin turut memaklumkan pihaknya ada menghubungi penganjur, Kay Event Kay Event Management and Services untuk mendapatkan kepastian mengenai baki bayaran yang belum dilangsaikan itu.

Dalam pada itu Yasin memberitahu sekiranya hal tersebut terus berlarutan, dia bercadang mahu mengambil tindakan terhadap penganjur.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan