8 Jan 2017

Marsha tampil single baru

SEJAK akhir-akhir ini, Marsha Milan aktif dalam lakonan dan pengacaraan sehingga ada menyangkakan bintang kelahiran Akademi Fantasia ini sudah tidak berminat dengan dunia nyanyian.

Menyangkal dakwaan itu, Marsha yang pernah tampil berkesan menerusi lakonan dalam filem Jwanita ini mengatakan, minatnya dalam bidang nyanyian masih lagi sama seperti dulu, cuma mungkin tawaran dalam bidang lakonan sering mendahului.

“Saya sedar ramai lupa saya sebenarnya penyanyi apabila sering melihat saya berlakon filem dan drama, termasuk percubaan pertama saya di pentas teater Dia Semanis Honey Muzikal yang sedang dipentaskan.

“Memang benar, sepanjang dua tahun ini tawaran berlakon  banyak sehingga banyak masa dan fokus saya diberikan kepada lakonan ini secara tidak langsung, namun saya masih lagi menyanyi dan insya-ALLAH keutamaan saya tetap dalam bidang nyanyian,” ujarnya yang penyanyi lagu tema filem Frozen versi Bahasa Melayu, Bebaskan.

Mengotakan janjinya kepada peminat, Masha memberitahu bakal muncul dengan single terbaru berjudul Hilang yang akan dilancarkan selewat-lewatnya Mac ini.

“Lagu Hilang ciptaan Omar K ini merupakan  lagu balada yang sudah siap dirakamkan dan kini melalui beberapa proses akhir sebelum ia diperdengarkan kepada umum tidak lama lagi.

“Saya harap dengan kemunculan single terbaru ini dapat mengubati rindu peminat yang mahu melihat saya untuk terus aktif di pentas nyanyian,” katanya.

Berkongsi tentang perkembangan terbarunya, kata Marsha, sepanjang Januari sehingga Februari ini, dia akan sibuk menjalani penggambaran sebuah program travelog makanan yang bakal disiarkan di RTM tidak lama lagi, Apa Lauknya.

“Program 13 episod ini sangat istimewa kerana ia bakal menjalani penggambaran di negeri kelahiran saya, Sabah dan semestinya akan mengetengahkan pelbagai makanan tradisi di sana membuatkan saya sukar untuk menolak tawaran ini.

“Selepas itu saya akan kembali mengacarakan program Mentor Milenia musim terbaru yang akan memulakan siaran pada Februari depan,” jelas Marsha.

Meskipun sibuk dengan urusan kerjaya seni yang memenuhi rutin hariannya, Marsha mengakui tidak pernah melupakan tugas dan tanggungjawabnya dalam rumah tangga selepas berkahwin dengan lelaki pilihan hatinya, Mohamed Shaiful Nizam lebih setahun lalu.

“Kalau ikutkan sibuk, terutama ketika saya sedang terlibat dalam pementasan teater, memang jarang sangat dapat meluangkan masa di rumah bersama suami, apatah lagi dia juga terikat dengan pelbagai urusan kerjanya sendiri.

“Apa pun, saya cuba untuk tidak mengabaikan tanggungjawab saya untuk menyediakan segala keperluannya terlebih dahulu sebelum keluar bekerja.

“Kadang-kala apabila ada perkara yang saya terlepas pandang atau tidak sempat sediakan untuk dia, mulalah saya rasa bersalah dan tidak senang duduk kerana takut mengabaikan dia kerana sibuk kerja,” katanya yang mengakui kini lebih bertanggungjawab selepas bergelar isteri.

Bagaimanapun, Marsha mengakui dirinya bertuah kerana mempunyai suami yang cukup memahami diri dan kerjayanya.

“Dia tidak pernah merungut malah sentiasa menyokong saya untuk sama-sama untuk memberikan yang terbaik dalam rumah tangga kami.

“Kalau dia pulang ke rumah terlebih dahulu, selalunya dia akan berjaga dan tunggu saya balik selain tidak pernah menyekat apa yang saya ingin lakukan asalkan saya tahu menjaga batas sebagai seorang isteri,” ujarnya yang baru sahaja menyambut ulang tahun pertama perkahwinannya baru-baru ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan