3 Jan 2017

Harith Iskander Dikejutkan Dengan Hadiah RM100,000 Daripada KKMM

Pelawak Harith Iskander dikejutkan dengan hadiah wang tunai berjumlah RM100,000 pada malam penghargaan bersempena kemenangannya pada pertandingan Funniest Person in the World di Finland 10 Disember lalu.

Hadiah tersebut disumbangkan oleh Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) sebagai menghargai kecemerlangannya mengangkat nama Malaysia di peringkat antarabangsa.


Menterinya, Datuk Seri Panglima Dr. Salleh Said Keruak turut hadir pada acara itu bagi menyampaikan hadiah tersebut kepada Harith.

Dalam pada itu, Harith dalam ucapannya berkata dia tidak menyangka dengan kejutan tersebut dan menganggap ia sebagai rezeki.

Malah kata Harith, dia terharu apabila Salleh sangat mengambil berat apabila mengetahui penyertaannya menerusi pertandingan itu.

"Saya teringat terserempak dengan beliau pada satu acara dan saya terkejut apabila beliau bertanya mengenai penyertaan saya menerusi pertandingan itu.

"Malah beliau turut meminta saya menghubunginya jika memerlukan sebarang bantuan dan sokongan," katanya.

Terdahulu, pelawak yang telah berada dalam industri ini lebih dari 25 tahun itu berjaya mengalahkan 88 pelawak dari seluruh dunia yang menyertai pertandingan itu.

Kemenangan itu melayakkan Harith membawa pulang hadiah trofi dan wang tunai berjumlah AS$100,000 (RM444,845).

Tiada ulasan:

Catat Ulasan