2 Jan 2017

Fattah Amin Lancar 'Wanita Terakhir' Dari Amsterdam

Pelakon Fattah Amin membuat kejutan buat peminatnya apabila melancarkan single terbaharunya berjudul Wanita Terakhir pada Ahad dari luar negara.

Fattah yang kini berada di Amsterdam berkata, lagu berkenaan adalah hadiah buat peminatnya atas sokongan luar biasa terhadap karier seninya sejak akhir-akhir ini.

"Single ini adalah hadiah ikhlas dari hati saya untuk semua peminat saya di luar sana, saya cukup terharu dengan sokongan yang luar biasa terhadap saya sejak akhir-akhir ini.

"Semoga anda semua terhibur dengan lagu terbaru saya ini", katanya.

Terdahulu, Fattah menerusi Facebook Live melancarkan single berkenaan dan video teaser berdurasi satu minit bagi membolehkan peminat mendengar lagu berkenaan.

Wanita Terakhir dicipta oleh Aizat Amdan, Mel Ramlan dan Anas Amdan turut boleh dimuat turun secara digital menerusi aplikasi iTunes dan Playstore.

Dalam pada itu, Fattah berkata, lagu berkenaan dilancarkan secara digital kerana ingin memberi peluang dan memudahkan peminatnya sama ada di Malaysia atau di luar negara untuk membuat pembelian.

"Selain sokongan padu daripada kelab peminat saya iaitu The FA Team, turut wujud kelab peminat 'Lofattah' dari seluruh pelusuk dunia dan mereka ini mungkin rakyat Malaysia atau orang Melayu yang menetap di luar negara tetapi masih mengikuti perkembangan kerjaya seni saya di Malaysia.

"Sebab itu saya memilih melancarkannya secara digital bagi memudahkan semua mendapatkan lagu berkenaan menerusi iTunes atau pun Playstore," katanya.

Sementara itu, penerbit lagu berkenaan, Anas Amdan berkata, pihaknya tertarik untuk bekerjasama dengan Fattah kerana melihat bakatnya sebagai penyanyi.

Malah Wanita Terakhir kata Anas dihasilkan untuk mempaparkan sisi baru pelakon drama bersiri popular Suri Hati Mr. Pilot itu yang lebih matang sesuai dengan perkembangan kerjayanya.

Wanita Terakhir adalah terbitan dan kerjasama Fastyle dan Kasi Gegar Entertainment.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan