Pelakon Amar Asyraf, 30, mengaku pernah berasa tawar hati untuk berlakon di layar perak selepas mengalami kekecewaan apabila beberapa filem yang dibintanginya sehingga kini masih belum ditayangkan di pawagam.
Menurut Amar, pengalaman tersebut membuatkan dia lebih berhati-hati dalam memilih setiap tawaran kerana tidak mahu hasil usaha dan kerja kerasnya sia-sia.
"Saya sudah berlakon beberapa filem sebelum ini cuma filem itu tidak keluar di pawagam. Filem saya yang ditayangkan hanya filem Penunggu Istana, pada 2011.
"Filem Qada' sepatutnya keluar panggung tetapi ditayangkan di Astro First Eksklusif. Selain itu filem Taikun berkisar tentang sindiket dadah. Saya jalani penggambaran filem itu kira-kira empat tahun lalu. Saya dimaklumkan filem itu tidak dapat ditayangkan dipawagam kerana ada masalah dalaman.
"Kadang-kadang saya rasa malas hendak berlakon filem. Sebab saya kecewa, apabila filem itu tidak ditayangkan di pawagam. Bagi saya, lebih baik karya dan hasil kerja kita dipertontonkan kalau tidak buat apa kita berlakon," luahnya ketika ditemui ada sidang media filem Mia Tiara, bertempat di Restoran Bambu, Ulu Klang, pada Khamis.
Berkongsi serba sedikit mengenai wataknya dalam filem tersebut, Amar berkata dia tertarik dengan tawaran kali ini kerana menuntutnya membawakan watak antagonis.
"Saya mahu cuba sesuatu yang baru. Sebelum ini memang saya sudah pernah bawakan watak antagonis tapi watak kali ini lain. Saya sebagai Kamal, mempunyai sebuah agensi modeling dan dia obses pada Mia Tiara, dia sanggup buat apa saja untuk dapatkan wanita itu," tuturnya ang mengakui masih belum lagi sempat membaca skrip naskah itu.
Mia Tiara, sebuah filem berbentuk komersial Islamik yang bakal menjalani penggambaran sekitar April depan. Karya terbitan Tenview (M) Sdn Bhd bakal dibintangi barisan pelakon seperti Nur Fathia, Siti Eja, Nadia Shahab, Faizal Hussein, Julia Ziegler, Hafreez Adam dan ramai lagi.
Perkembangan lain, Amar kini sibuk menjalani penggambaran telefilem berjudul Perempuan di Hujung Kampung. Selain, dia bakal muncul menerusi drama bersiri Suamiku Mat Salih Celup yang akan ditayangkan di slot Dahlia TV3, tidak lama lagi.
"Sepanjang tahun ini, saya akui produktiviti saya kurang memberangsangkan. Kali terakhir saya berlakon drama bersiri ialah Setia Hujung Nyawa. Saya rasa dalam tahun ini saya banyak cuti, tak banyak jalani penggambaran.
"Tapi dalam tempoh bercuti daripada menjalani penggambaran, masa saya sebenarnya diisi dengan memberi tumpuan pada pentas teater. Saya bersama kumpulan teater saya, Projek Ronggeng, kami banyak menjelajah ke negeri di semenanjung untuk pementasan teater," beritahunya.
Alang-alang bercerita tentang teater, Amar turut meluahkan rasa terkilan apabila pementasan teater Puteri La Gilo ditangguhkan.
Teater yang berkisar tentang asal usul Kesultanan Melayu Selangor itu sepatutnya mula dipentaskan pada 16 Disember (hari ini) di Stadium Melawati, Shah Alam.
Kata Amar, dia terkejut apabila dimaklumkan perkara tersebut namun menerima dengan tentang. Cuma dia tidak dapat menyembunyikan kekecewaan kerana sepanjang beberapa bulan menjalani latihan dia sangat teruja dan berusaha gigih dan melakukan pelbagai iniasitif demi menjiwai karakter sebagai Sultan Selangor yang pertama iaitu Sultan Sallehuddin Shah ibni Almarhum Daeng Chelak atau lebih dikenali sebagai Raja Lumu.
"Saya bersama barisan pelakon lain sudah menjalani latihan selama tiga bulan. Tetapi, kira-kira dua minggu lalu kami dimaklumkan oleh produksi bahwa pementasan terpaksa ditangguhkan atas sebab yang tidak dapat dielakkan.
"Saya kecewa sebab iyalah, selama ini jika di pentas teater saya di kerusi pengarah. Tetapi kali ini saya berpeluang menjadi antara pelakon dan itu yang membuatkan saya tambah teruja.
"Tambahan watak saya sebagai Sultan pertama, saya sangat teruja dan membuat banyak kajian mengenai salasilah kesultanan Selangor dan mendalami dan memahami tentang budaya orang Bugis.
"Selain itu saya belajar bersilat, saya beli tanjak, saya cari rotan sebagai props untuk saya gunakan sepanjang membuat latihan. Saya belajar menyanyi, kami diberikan peluang mengikuti kelas vokal percuma. Tetapi apabila ia ditangguhkan, kami terpaksa akur," luahnya.
Teater yang turut dibintangi barisan pelakon seperti, Tasha Shilla, Raja Azura, Harun Hashim, Wan Raja, Ainul Aishah, Zack Kool, Aliff AF ini dijangka akan dipentaskan sekitar Mac tahun hadapan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan