19 Sep 2016

Thanuja serius berlakon

BEKAS Ratu Cantik Malaysia 2009/2010 dan juga pengacara popular, Thanuja Ananthan mengakui mula jatuh cinta dalam bidang lakonan selepas kali pertama muncul di layar lebar menerusi filem Temuan Takdir yang kini sedang ditayangkan kepada umum.

Biarpun sebelum ini dia tidak pernah mensasarkan misi untuk bergelar pelakon, Thanuja tidak menolak untuk lebih aktif dalam bidang ini jika diberi peluang dan tawaran yang bersesuaian.

“Sebenarnya sebelum ini sudah beberapa kali saya diberikan tawaran untuk berlakon. Namun, ketika itu saya terpaksa tolak kerana kebanyakan watak yang ditawarkan itu agak tipikal buat saya.

"Misalnya, watak model seksi atau gadis penggoda. Kalau boleh untuk penampilan pertama, saya mahukan watak yang tidak memaparkan saya dengan karektor yang sebegitu. Jadi apabila Temuan Takdir memberikan saya watak yang berlainan daripada tawaran sebelum ini, semestinya saya tidak ada masalah untuk menerima," katanya.

Malah, katanya cukup gembira apabila penampilan pertama dalam lakonan ini diterima baik  peminat.

"Respon positif itu membuatkan saya mula berminat untuk lebih serius dalam bidang ini,” akuinya yang kini masih aktif di pentas peragaan.

Lebih menarik, gadis tinggi lampai yang memulakan kerjaya pengacaraannya menerusi program Unsung Places ini sebenarnya mempunyai ramai peminat Melayu.

“Suatu hakikat yang perlu saya akui, kebanyakan peminat saya adalah terdiri daripada peminat Melayu.

"Dari awal saya aktif dalam bidang seni sehinggalah sekarang, memang peminat Melayu yang lebih kenal saya sebagai seorang selebriti," katanya.

Disebabkan itulah, Thanuja tiada masalah untuk berlakon dalam filem Melayu ataupun mengacarakan program berbahasa Melayu.

"Bukan tidak ada peminat dari kalangan bangsa lain, tetapi mereka lebih mendominasi,” akuinya jujur.

Dalam perkembangan lain, Thanuja juga sebenarnya seorang yang cukup aktif dalam kerja-kerja amal.

Dia juga dikenali sebagai aktivis haiwan dan banyak terlibat dengan program-program yang berkaitan.

“Sebelum bergelar selebriti, saya sudah biasa dengan program-program amal. Minat itu mungkin timbul kerana pendedahan yang diberikan oleh ibu saya yang juga aktif dengan program sebegitu. "Jadi, jika tidak terikat dengan urusan kerjaya saya memang cuba luangkan masa untuk lakukan sesuatu yang boleh menyumbang kepada masyarakat.

“Terbaru saya juga terlibat dengan program Volunteer Malaysia yang dianjurkan oleh iM4U yang bakal berlangsung pada 24 September ini," katanya.

Jelasnya, bagi saya program-program sebegini, ia banyak membantu untuk menjadi seorang yang lebih bertanggungjawab kepada masyarakat.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan