9 Sep 2016

Siti Nurhaliza: World #QuranHour tepat pada masanya

MEMBACA al-Quran adalah amalan yang sangat dituntut kepada umat Islam.

Pun begitu, amalan membaca kitab suci itu dilihat bukan lagi menjadi satu keutamaan lantaran alpa dengan kesibukan dunia.

Sehubungan itu, penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza Tarudin menyifatkan penganjuran World #QuranHour sangat tepat.

"Ini satu program yang baik dan bagus. Bahkan, ini juga satu usaha membudayakan al-Quran dalam kehidupan seharian.

"Kadang-kadang, ada masanya, kita terlalu sibuk dengan hal-hal dunia sehingga lupa dengan perintah dan suruhan-Nya,” katanya ketika ditemui selepas majlis kolaboratif di antara SimplySiti dan AirAsia BIG Duty Free, kelmarin.

Tambahan pula, katanya, ia selari dengan tujuan utama diturunkan al-Quran sebagai kitab petunjuk dalam menjalani kehidupan.

"Secara tidak langsung, program ini mendidik diri untuk terus mengenali, membaca dan mendalami al-Quran.

"Lagipun, al-Quran adalah panduan terbaik lengkap dengan susunan ilmu dan pengajaran sekali gus membentuk keperibadian mulia,” katanya.

Sebagai tanda sokongan, penyanyi berusia 37 tahun ini turut mengajak masyarakat Islam sama-sama menyertainya.

"Sebagai artis, saya akan usaha uar-uarkan dan memberi lebih informasi program ini.

"Insya-ALLAH, saya juga akan sama-sama turut serta sekiranya ada kelapangan," katanya.

Buat pertama kalinya, bacaan al-Quran akan diperdengarkan serentak di seluruh dunia selama satu jam menerusi program World #QuranHour.

Program ini diadakan bersempena dengan ibadah wukuf di Padang Arafah, Makkah yang jatuh pada 11 September, bersamaan 9 Zulhijjah.

Di negara ini, program perdana berlangsung di Masjid Sultan Haji Ahmad Shah, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) bermula jam 9 pagi.

Bagi meneruskan tradisi, isteri kepada Datuk Seri Khalid Mohamed Jiwa ini akan menunaikan ibadah korban sempena Aidiladha.

"Insya-ALLAH, saya akan buat ibadah korban di beberapa tempat bersama ahli keluarga lain," katanya ringkas.

Impi teroka pelbagai bisnes

Siti Nurhaliza juga bergiat aktif sebagai usahawan dan meletakkan sasaran mempunyai empayar perniagaan sendiri dalam tempoh 10 tahun lagi.

Kini, pelantun lagu Bukan Cinta Biasa ini menguruskan dua perniagaan iaitu kecantikan menerusi jenama SimplySiti dan pakaian, Creacion By Siti Nurhaliza.

"Saya mahu teroka pelbagai cabang perniagaan. Saya suka mencuba sesuatu yang baru. Mana tahu, terjebak pelancongan dan kesihatan selepas ini," katanya yang turut menanam impian mempunyai bangunan bisnes sendiri.

Lebih membanggakan, Siti Nurhaliza juga melangkah setapak dalam perniagaan kosmetik apabila menjalinkan kerjasama dengan AirAsia BIG Duty Free.

Di bawah kerjasama itu, dua produk didatangkan edisi khas iaitu bedak muka Simply Elegant 2-Way dan pengilat bibir Simply Elegant Lip Gloss Duo Edisi AirAsia.

Jelasnya, produk buatan Korea itu dijual pada harga promosi RM54 di dalam semua penerbangan AirAsia dan AirAsia X mulai 1 September hingga 30 September ini.

"Secara tidak langsung, kolaborasi ini adalah salah satu langkah terbaik ke arah penjenamaan baru SimplySiti.

"Diharap kerjasama ini membawa produk SimplySiti lebih jauh ke pasaran yang belum diterokai secara global,” katanya yang berharap dapat tembusi pasaran Indonesia.

Dalam perkembangan lain, pelantun lagu Lebih Indah ini turut mengakui dalam proses mengumpul material album terbaru.

"Insya-ALLAH, saya akan mengeluarkan album terbaru, awal tahun depan. Saya mahukan sesuatu berlainan tetapi pada masa sama kekalkan konsep pop komersial.

"Saya tidak kisah bergandingan  mana-mana komposer asalkan lagu dihasilkan terbaik, catchy dan berkualiti," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan