Pelakon yang semakin meningkat naik, Ruhainies, menegaskan bahawa hubungannya dengan pelakon Azrel Ismail sekadar teman rapat dan bukan pasangan kekasih seperti yang dilaporkan sebuah akhbar tempatan, baru-baru ini.
Ruhainies atau nama sebenarnya, Ruhainies Farehah Zainul Ilyas, 24, berkata, dia masih solo namun tidak menyangkal bahwa Azrel adalah rakan artis paling rapat dengannya sejak dari awal dia memulakan kerjaya dalam bidang lakonan.
"Saya masih single. Begitu juga dengan Azrel. Tapi kami memang berkawan rapat dan kami kenal sejak dari awal saya masuk industri.
"Kami masing-masing masih muda, belum terfikir lagi mahu bercinta apatalagi berkahwin. Masing-masing mahu fokus pada kerjaya.
"Sebenarnya saya risau juga, takut ramai yang marah sebab kenyataan bercanggah," katanya ketika diminta mengulas mengenai laporan media menyebut Azrel akhirnya mengaku bercinta dengan Ruhaines sejak setahun lalu.
Pelakon drama Menantu Tingtong ini ditemui pada majlis pelancaran Pusat Kecantikan Wajah Naarabelle Facespa, bertempat di Starpac, pada Khamis.
Tambahnya lagi, beberapa minggu lalu dia dan Azrel diundang menjadi tetamu sebuah stesen radio. Ketika sesi perbualan ke udara, aktor itu memang ada menyatakan perasaan suka terhadap dirinya.
"Tentang kenyataan itu, sebenarnya saya ada bersama dia pada ketika itu. Kami dijemput oleh satu stesen radio dan ketika itu dia memang ada cakap, dia suka pada saya. Saya akui, saya pun suka dia. Kiranya kami sama-sama suka tapi tidak sampai lagi ke tahap bercinta. Kami selesa berkawan, "jelasnya.
Dalam pada itu kata Ruhainies, meskipun berkawan baik namun dia dan Azrel jarang berjumpa kerana kesibukan kerja dan kekangan masa.
Sementelah kehadiran mereka berdua di khalayak pada satu-satu majlis bukan dirancang. Sebaliknya kata Ruhainies, secara kebetulan mereka sering diundang ke satu majlis yang sama.
"Walaupun berkawan baik, tapi kami memang tidak pernah pun keluar tambahan sebab masing-masing sibuk. Pernah juga kami rancang hendak keluar makan berdua tetapi di saat-saat akhir, ianya tak jadi.
"Saya hanya berkesempatan jumpa dia di acara-acara kerana kebetulan kami sering mendapat undangan ke satu majlis yang sama. Mungkin sebab keserasian kami dalam drama-drama membuatkan penganjur suka untuk menggandingkan kami berdua.
"Jadi, kalau orang selalu tengok kami berdua dan kalau ada yang anggap kami selalu berkepit, sebenarnya kami bukan berkepit tetapi sama-sama dapat undangan,"tuturnya.
Sementara itu mengenai perkembangan karier, selepas drama Menantu Tingtong, Ruhainies sekali lagi akan bergandingan dengan Azrel menerusi drama drama bersiri Katakan Tidak Pada Cinta.
Selain itu, dia turut menantikan tayangan telemovie lakonannya bertajuk, Ayah Tak Pernah Kalah. Drama arahan Along Kamaludin ini akan ditayangkan di saluran TV9. Dia juga akan muncul menerusi video muzik terbaru kumpulan Hyper Act berjudul Bukan Untukku.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan