17 Dis 2016

Star Wars Rogue One terima pujian ramai

SEJUJURNYA, penulis bukanlah peminat tegar naskhah Star Wars.

Namun pembikinannya yang mendapat perhatian dan menjadi antara filem yang dinantikan oleh ramai peminat membuatkan penulis tertarik untuk menonton filem ini.

Sebagai individu yang tidak pernah mengikuti francais Star Wars, penulis terlebih dahulu membuat sedikit pembacaan supaya tidak ketinggalan sepanjang tayangan filem ini.

Kepada yang tidak pernah menonton filem Star Wars, jangan bimbang! Filem ini bukanlah sambungan filem Star Wars VII: The Force Awaken tetapi filem 'spin off' Star Wars yang pertama.

Rogue One: A Star Wars Story mengambil tempoh waktu sebelum Star Wars Episode IV: A New Hope, dengan membawakan kisah di sebalik perjuangan sekumpulan penentang Empire dalam misi untuk mendapatkan pelan senjata terhebat 'Empire, Death Star'.

Tidak ada sinopsis ringkasan di permulaan filem seperti kebiasaan filem Star Wars, tetapi filem ini masih dimulai dengan 'long time ago, in a galaxy far, far away....'.

Pada pandangan penulis secara keseluruhannya, filem ini masih boleh difahami dan dihayati.

Sentuhan sutradara Gareth Edwards, dan lakonan mantap para pelakonnya seperti Felicity Jones, Diego Luna, Riz Ahmed, Ben Mendelsohn, Donnie Yen, Jiang Wen, Forest Whitaker, Mads Mikkelsen dan ramai lagi melengkapkan perjalanan naskhah kelapan Star Wars ini.

Walaupun lakonan pelakon utamanya, Jones (Jyn) sedikit lemah pada awal filem, namun sebaik filem ini berkembang, lakonan Jones menjadi semakin mantap sehingga mampu membuatkan penonton simpati dengan nasibnya.

Filem yang sarat dengan aksi perang dan teknik grafik (CGI) yang hebat ini akan memberi satu kepuasan sebaik keluar panggung.

Walaupun pengakhirannya tidak dijangkakan, tapi masih memberi kepuasan, setidak-tidaknya buat mereka yang baru berjinak dengan naskhah ini.

Secara keseluruhannya, ia hampir menjadi sebuah filem yang sempurna, dan jika anda mahu mengetahui kesudahan perjuangan Jyn dan lain-lain, jangan lupa menyaksikan filem ini di pawagam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan