28 Dis 2016

AYU Raudhah, Fezrul dan Tasha dalam Diari Cinta Kita.

Hati siapa tidak luluh apabila disahkan menghidap kanser. Hidup terasa ‘gelap’ dan terbayang maut yang menanti.

Oleh itu, orang sekeliling perlu memainkan peranan penting memberi sokongan dan dorongan berterusan kepada penghidap kanser agar dapat menjalani kehidupan seperti insan lain.


Itulah yang diterjemahkan dalam drama Diari Cinta Kita terbitan Sekutu Production Sdn Bhd.

Naskhah arahan Nazir Jamaluddin itu diterajui pelakon berbakat besar iaitu Fezrul Khan dan Tasha Shilla.

Menerusi drama 20 episod itu Fezrul memegang watak sebagai Hakim yang sudah tujuh tahun memperisterikan Nurul Iman lakonan Tasha Shilla.

“Drama ini banyak tertumpu kepada watak Nurul Iman. Walaupun belum dikurniakan cahaya mata, kasih sayang Hakim terhadap isterinya tidak pernah berkurang.

“Namun segala-galanya berubah apabila Nurul Iman disahkan menghidap kanser usus dan mengalami kemurungan,” katanya.

Jelas Fezrul lagi, menerusi drama itu secara tidak langsung penonton didedahkan dengan pengetahuan berkaitan kanser selain dapat memupuk kesedaran orang ramai mengenai penyakit itu dan rawatan yang perlu diberikan.

Pada masa sama, katanya, drama yang menjalani penggambaran sejak Ogos lalu itu turut menyelitkan konflik dalam perhubungan.

“Nurul Iman dirawat Dr Aqilah lakonan Ayu Raudhah. Kehadiran Ayu secara tidak sengaja mengubah kehidupan Hakim,” katanya.

Kemuncak drama itu berlaku apabila Hakim dan Dr Aqilah berkahwin tanpa pengetahuan Nurul Iman.

Apakah yang akan berlaku kepada Nurul Iman? Semuanya bakal terjawab menerusi Diari Cinta Kita yang ditayangkan setiap Selasa hingga Ahad sejak 16 November lalu, jam 8.30 malam di TV3.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan